Tuesday, 21 May 2013

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG


ARTIKEL BERKAITAN NILAI ESTETIK 

MAKSUD ESTETIK
Istilah “estetik” ini berasal dari istilah Bahasa Yunani kuno iaitu aesthesis, yang bermaksud “persepsi rasa” (sense perception). Dalam kebudayaan Yunani, persepsi rasa ini merupakan sebahagian dari dunia falsafah dan boleh dikatakan sebagai “fikiran yang muncul dari rasa” yang berbeza sama sekali dengan fikiran yang muncul daripada logik akal. 

DEFINISI KEINDAHAN
Pengertian istilah “keindahan” sering dikaitkan dengan pemikiran seni. Persoalan yang mengundang kepada pemikiran adalah dengan membezakan keindahan sebagai rasa (sense) dan keindahan sebagai fenomena (kecantikan, keserasian, kondisi liris). Aspek keindahan dikenali sebagai “estetik”. Istilah “estetik” ini berasal dari istilah dalam Bahasa Yunani kuno iaitu aesthesis, yang bererti “persepsi rasa” (sense perception). 

Alexander Baumgarten adalah orang pertama yang mengembangkan pemikiran itu pada Abad ke-18. Pemikiran Baumgarten yang kemudian dikenali sebagai “estetika” atau falsafah keindahan yang mengkaji rasa keindahan. Teori tersebut mempersoalkan dunia rasa (sense) dan kesannya kepada pemikiran. Baumgarten melihat persepsi rasa yang berkembang daripada pengalaman merasai keindahan merupakan aktiviti mental pada manusia.

Dalam karya sastera salah satu keunggulan terpenting daripada karya sastra ialah sifat indah-nya yang tercermin baik dalam sistem ‘ide-citra’ dan sistem perkataan sendiri-sendiri. Dalam kesusastraan Melayu, seperti juga dalam kesusastraan dunia Islam lain, sumber segala keindahan ialah Kudrat Allah. Disebabkan Kudrat-Nya itulah, keindahan-Nya yang mutlak tampil dalam keindahan pelbagai benda, misalnya dalam keindahan karya sastera. Keindahan itu sendiri dipandang sebagai sesuatu yang luar biasa dalam betuk pelbagai rupa dan sekaligus teratur dan penuh harmoni. Keindahan yang luar biasa itulah yang menarik perhatian dan membangkitkan keasyikan, atau sejenis berahi  dalam jiwa (hati) orang yang melihatnya ataupun mendengarnya. Keindahan tersebut menimbulkan perasaan kagum dalam jiwa manusia. Selain dipandang sebagai keindahan luar tersebut, ada lagi sifat karangan sastera yang dianggap lebih penting iaitu,  faedah atau manfaat. Faedah ini dapat dipandang sebagai keindahan dalam karya sastera.

KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONAFIKASI (MAKNA LUARAN) BERDASARKAN KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN.

Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik. Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna luaran. Setiap makna tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya sangat luas untuk dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya diketahui oleh penulis dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala, Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna luaran kelihatan lebih menari untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus terhadap pembaca. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri. Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif.
Terdapat pelbagai aspek sastera yang menarik dapat dilihat menerusi karya Sulalatus Salatin. Misalnya dalam aspek gaya bahasa. Penelitian karya sastera pada waktu sekarang banyak ditujukan pada penerangan struktur ceritanya seperti tema, watak, latar dan persoalan. Akan tetapi, penelitian terhadap gaya bahasa merupakan salah satu aspek penting terhadap kesusasteraan Melayu klasik ini. Pada umumnya, gaya bahasa yang sering digunakan dalam karya sastera adalah personifikasi. Hal ini demikian kerana, penggunaan gaya bahasa yang berkesan mampu menghasilkan sebuah karya sastera bukan sahaja lebih nyata, tetapi juga menjadikan sebuah karya sastera tersebut lebih menarik dan untuk dibaca. Sehubungan dengan itu, aspek gaya bahasa personifikasi tergolong dalam komponen makna luaran sesuatu karya terutamanya karya Melayu klasik. Aspek ini membawa kepada keindahan yang berbeza terhadap karya Melayu klasik yang sukar diperoleh dalam karya-karya moden yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda pada hari ini.

      ESTETIKA DALAM KONTEKS MAKNA LUARAN.
Sulalatus Salatin mempunyai pelbagai gaya bahasa yang seiring dengan tarafnya sebagai sebuah karya agung Melayu klasik. Karya agung ini merangkumi dua aspek makna, iaitu makna dalaman dan makna luaran. Makna yang menjadi fokus utama dalam perbincangan ini ialah makna luaran. Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca termasuk gaya bahasa. Gaya bahasa yang ingin diketengahkan ialah gaya bahasa personifikasi. Oleh itu, penting untuk mengetahui konsep keindahan, gaya bahasa dan personifikasi sebelum dikaitkan dengan penggunaannya di dalam karya Sulalatus Salatin tersebut agar dapat diketahui makna luarannya.
1    
      GAYA BAHASA 
Maksud gaya dalam bidang penghasilan karya bertulis ialah corak, bentuk, rupa atau pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat. Gaya juga merupakan satu cara menulis atau bercakap. Menurut Nik Safiah Karim (1981), bahasa dapat didefinisikan sebagai lambang-lambang pertuturan yang arbitrari, bersistem dan digunakan oleh masyarakat untuk berkomunikasi. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain).

Gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan  penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan,  secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera. Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk mengindahkan lagi bahasa  itu. Menurut Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan fikiran melalui bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis (pemakai bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Gaya bahasa adalah pemakaian kata-kata kiasan dan perbandingan bagi menggambarkan sesuatu maksud. Pelbagai gaya bahasa dapat dilihat melalui sesuatu bahasa.

Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Pada umumnya, terdapat empat jenis gaya bahasa iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa sindiran, gaya bahasa penegasan dan gaya bahasa pertentangan. Namun begitu, dalam penulisan ini, kajian memfokuskan hanya kepada gaya bahasa perbandingan dan melihat kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu personifikasi yang terdapat dalam karya Sulalatus Salatin.

1    PERSONIFIKASI
Personifikasi dikenal juga sebagai pengorangan atau penginsanan. Maksud personifikasi ialah tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak. Personifikasi adalah memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai “daun nyiur melambai-lambai”, “ daun kelapa menggamit manja” dan sebagainya.

Oleh itu, terdapat banyak gaya bahasa yang ada dalam karya Sulalatus Salatin yang dikarang semula dalam versi yang lain oleh beberapa orang tokoh seperti A. Samad Ahmad dan Muhammad Haji Salleh. Antaranya ialah gaya bahasa personifikasi dalam karya Sulalatus Salatin. 

      KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONIFIKASI DALAM SEJARAH MELAYU
Tun Seri Lanang menganugerahkan generasi moden kini dengan sejumlah kata,  baris dan citra, yang kekal dalam bahasa Melayu yang diwarisi dari Sulalatus Salatin. Kata dan frasa yang tepat serta dapat menyampaikan maknanya ini pasti diciptakan berkat daripada bakatnya dan dijelmakan dalam adunan situasi yang memerlukan pemikiran yang tinggi bagi memahami makna yang ingin disampaikan termasuk makna luaran. Oleh itu, keindahan gaya bahasa personifikasi telah menyerlahkan identiti Sulalatus Salatin sebagai sebuah karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

Dalam karya Sulalatus Salatin, terdapat banyak penggunaan gaya bahasa personifikasi bagi menggambarkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan suasana, pemerintah atau raja-raja Melayu, pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu pihak kepada pihak yang lain dan sebagainya lagi. Perkara-perkara ini telah menggunakan sifat yang ada pada manusia dan dikaitkan pada unsur-unsur alam seperti haiwan, pasir, angin, pokok dan lain-lain. Penggunaan unsur-unsur ini bagi menggambarkan keindahan makna sesuatu perkara supaya dapat difahami oleh pembaca. Antara contoh-contoh penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam karya ini adalah seperti berikut.

Sekira-kira empat keruh bumi jauhnya berjalan maka bertemulah dengan ra’yat Raja Syulan lalu berparang, tiada sangka bunyinya lagi, bunyi segala yang bergajah berjuangkan gajahnya dan segala yang berkuda bergigitkan kudanya dan segala yang memegang panah berpetikkan pana(h)nya dan segala (yang) memegang lembing bertikamkan lembingnya dan segala yang (memegang) tombak bertikamkan tombaknya, dan segala yang memegang pedang bertetakan pedangnya.
                                                                                                             (Muhammad Haji Salleh, 1997: 13)

SUMBER 

RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK


PENDAHULUAN
Seni retorik dan gaya bahasa merujuk kepada seni pemakaian dan penggunaan bahasa dalam sesebuah karya agung. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 :1326), retorik boleh didefinisikan sebagai kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Tujuan adanya seni retorik dan gaya bahasa ini adalah untuk menjadikan sebuah karya itu menarik dan indah untuk mempengaruhidan meyakinkan para pembaca. Retorik turut berkaitan dengan seni memilih perkataan, memilih susunan ayat dan menggunakan bunga-bunga bahasa. Berikut adalah peneltian terhadap Bustan al-Katibin mengenai Retorik Dan Gaya Bahasa Melayu Klasik berdasarkan empat ciri. Ciri-ciri tersebut ialah konsep retorik Melayu klasik, bentuk binaan ayat, frasa dan klausa dan pengaruh bahasa asing yang digunakan oleh pengarang.

KARYA PILIHAN: BUSTAN AL-KATIBIN
Bustan al-Katibin atau judul lengkapnya, Bustanul Katibin Iish Shibyanil Muta’allimin merupakan sebuah karya bahasa Melayu paling awal yang dikarang oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu terulung, iaitu Raja Ali Haji. Karya ini selesai dikarang pada 15 September 1850.

Beliau menekankan bahawa mempelajari bahasa bukan sekadar mengetahui peraturan nahu, susunan ayat, struktur kata, sistem bunyi dan ejaannya sahaja tetapi ilmu yang terkandung di dalamnya perlu dipelajari dan diketahui oleh orang Melayu. Bahasa dikatakan bertindak sebagai suatu alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar dan yakin tentang alam ciptaan Allah SWT. Pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi fasih bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu sahih dan benar.

Bahasa juga dapat melambangkan budaya, nilai, akal budi dan budi pekerti sosial dan moral bangsa Melayu. Perlambangan itulah yang dikatakan sebagai ‘isi’ sesuatu bahasa itu, bukan sekadar ‘struktur’ fizikal sesuatu bahasa. Keistimewaan Raja Ali Haji ialah beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang telah digariskan dalam pengajian Islam. Dalam Islam, pengajian sesuatu bahasa merupakan suatu bentuk ilmu untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan alam dan memperteguhkan keimanan dan ketaqwaan. Pengajian bahasa tersebut merangkumi ilmu-limu seperti ilmu nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya.

Bustan al-Katibin terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian Mukadimah atau pendahuluan, bahagian Fasal yang mengandungi 30 fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah, iaitu bahagian penutup.

Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Bahagian Fasal pula dibahagikan seperti berikut:
(i)                 Fasal 1- Fasal 9       : Huraian tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu (30
                                   abjad daripada bahasa Arab dengan tambahan empat
                                   abjad, iaitu ca, ga, nga dan nya).
(ii)               Fasal 10- Fasal 13   : Huraian tentang kelas kata yang terbahagi kepada tiga
                                      golongan (kelas kata isim, iaitu kata nama, kelas kata
                                      fi’il iaitu kata kerja, kelas kata harf, iaitu kata partikel).
(iii)             Fasal 14 dan Fasal 15: Huraian tentang unit tatabahasa, iaitu ayat/klausa, frasa
                                      dan perkataan yang diistilahkan oleh pengarang sebagai
                                      perkataan-perkataan, kata-kata dan kata.
(iv)             Fasal 16- Fasal 28     : Huraian tentang binaan sintaksis.
(v)               Fasal 29                     : Huraian tentang prinsip dan peraturan menusun perkataan        
                                     dalam membuat karangan.
(vi)             Fasal 30                     : Sambungan prinsip dan peraturan membuat karangan dan
                                     huraian tentang kaedah membuat surat kiriman.

Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.

SIFAT FIZIKAL KITAB BUSTAN AL-KATIBIN 
Sifat fizikal kitab ini merangkumi dua aspek, iaitu:
(i) aspek penjilidan
(ii) aspek reka bentuk dalaman teks

Aspek penjilidan melibatkan ciri kulit buku atau kitab dan tulang belakang kitab. Kulit buku atau kitab ini diperbuat daripada kulit asli (bonded leather). Kulit kitab tersebut juga dihiasi dengan corak kerawang (deboss) di hadapan dan di belakang kulit kitab. Kitab tersebut dijilid dengan benang yang dijahit ke atas kulit dan kertas kitab tersebut. Tulang belakang kitab pula beralur sendi antara bahagian tersebut dengan kulit hadapan dengan kulit belakang. Terdapat perada emas di bahagian pinggir buku. Pada bahagian atas dan bawah buku mempunyai head band dan reben disediakan sebagai penanda buku. Contoh ciri-ciri fizikal ini dapat dilihat pada gambar di bawah.

Kulit buku bonded leather berkerawang 

Tulang belakang kitab

Aspek kedua dalam sifat fizikal kitab adalah aspek reka bentuk dalaman teks. Reka bentuk dalaman teks merangkumi jenis kertas yang bersifat long life. Jenis kertas ini adalah kertas yang bebas asid. Teks dalam kitab ini pula terbahagi kepada dua, iaitu teks tulisan Rumi dan teks tulisn Jawi. Kedua-dua teks ini dihiasi dengan kerawang di sekeliling teks. 


KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK
Retorik berasal daripada perkataan Yunani ‘rethor’ yang membawa maksud pidato. Konsep retorik dalam konteks moden ialah seni penggunaan bahasa tulisan utau lisan yang membabitkan penyampaian fakta atau idea dengan menggunakan bahasa yang menarik dan berkesan berdasarkan pengetahuan yang tersusun baik.  Retorik melayu klasik sama seperti retorik moden kerana ia turut melibatkan analisis teks tulisan dan visual.

Dua aspek penting tentang retorik ialah pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan bahasa yang baik dan pengetahuan tentang sesuatu perkara yang akan disampaikan menggunakan bahasa. Retorik mempunyai ciri-ciri umum seperti mempunyai bahasa, pemikiran dan perasaan yang tepat dan baik dalam penulisan atau gaya lisan. Ia juga memerlukan kekemasan dan wacana yang tersusun. Penghasilan retorik yang berkesan perlu melibatkan penggunaan satu daripada empat corak wacana, iaitu pemerian, pendedahan, penghujahan dan penceritaan.

Retorik melayu klasik yang terkandung dalam kitab Bustan al-Katibin dilihat daripada penyampaian ilmu bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu klasik. Pemakaian bahasa tersebut merupakan ciri yang ditonjolkan dalam karya agung tersebut selain daripada penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab.

BENTUK BINAAN AYAT
Pengarang Bustan al-Katibin iaitu Raja Ali Haji menggunakan ayat yang panjang atau berbelit atau berulang, penggunaan ayat pasif dan songsang, penggunaan perdu perkataan atau kata pangkal ayat dan kata partikel dalam karya beliau.

Penggunaan ayat yang panjang, berbelit atau berulang terdapat dalam karya ini. Pengarang gemar menggunakan ayat yang panjang dalam penulisan beliau. Sebagai contoh boleh dilihat pada Fasal 11 (Bustan al-Katibin, 2005 : 26) :

Adapun nama itu, nama tiap-tiap sesuatu seperti nama barang yang di atas seperti langit dan matahari dan bulan dan bintang dan pengawak dan awan dan mega, atau barang yang di bawah seperti bumi dan tanah dan bukit dan sekalian haiwan daripada nama manusia dan nama binatang, ya’ni sekalian haiwan, dan nama batu dan kayu dan tumbuh-tumbuhan dan nama alat segala pe(r)kakas dan pakaian dan nama makanan dan minuman dan nama segala ubat-ubatan dan nama segala ba[h]u-ba[h]uan dan nama segala kenderaan dan nama segala permainannya.

Selain itu, Raja Ali Haji turut menggunakan ayat pasif atau songsang dalam Bustan al-Katibin dan boleh dikatakan hampir keseluruhan penulisan ini menggunakan ayat pasif atau songsang. Hal ini kerana Bustan al-Katibin merupakan karya yang mempunyai ciri-ciri penggunaan bahasa sastera klasik. Antara contoh penggunaan ayat pasif atau songsang dalam karya ini ialah pada Fasal (10), halaman 25 :

Bermula yang diperbuat perkataannya itu tiadalah sunyi ia daripada tiga perkara.
(Munculnya sesuatu perkataan itu telah diketahui tentang tiga perkara tersebut.

Raja Ali Haji juga menyelitkan penggunaan kata pangkal ayat atau perdu perkataan dalam penulisan beliau. Kata pangkal ayat termasuklah penggunaan perkataan syahadan, alkisah, dan sebermula. Contoh penggunaan kata pangkal ayat boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah iaitu pada halaman 4 :

Syahadan jika demikian nyatalah apabila tiada ‘ilmu dan ‘akal, ‘alamat tiadalah ia mencium ba[h]u kemuliaan dan sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah pintunya, maka masuklah kehinaan itu pada tiap-tiap pintu itu.

Di samping itu, penggunaan kata partikel turut dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin. Penggunaan kata partikel ini boleh dikatakan banyak terdapat dalam karya ini. Kata partikel termasuklah –lah dan –pun. Antara contoh kata partikel yang digunakan dalam karya ini boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah halaman 10 :

Syahadan telah engkau ketahui apalah bagi segala perkara yang lima seperti yang tersebut dahulu itu, iaitulah yang menegahkan sekaliannya kita akan mendapat ‘ilmu itu.

FRASA DAN KLAUSA
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 417) , frasa boleh didefiniskan sebagai kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu bahasa. Klausa pula ditakrifkan sebagai unit yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat (Kamus Dewan Edisi Keempat 2010 : 798).

Frasa dan klausa yang digunakan dalam kitab Bustan al-Katibin tidak sama binaannya seperti penggunaannya dalam bahasa Melayu moden. Binaannya tidak dapat ditentukan kerana ayat yang dibina merupakan ayat bahasa Melayu klasik yang panjang dna berbelit-belit.

Walaupun binaannya dalam bahasa Melayu klasik, isi perbincangan dalam kitab ini ada  membincangkan tentang aspek perkataan-perkataan, kata-kata dan kata. Huraian tentang unit-unit tatabahasa ini diterangkan dalam Fasal 14 dan Fasal 15. Perkataan-perkataan merujuk kepada ayat atau klausa. Istilah kata-kata pula merujuk kepada frasa, manakala istilah perkataan bererti perkataan.  

Perkataan-perkataan (ayat/klausa) merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata yang merujuk kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan dan ianya melengkapi perkataan tersebut. Contohnya “Si Zaid itu berdirikah ia atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab dengan “Si Zaid berdiri”.

PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa asing dalam kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah.

Seluruh huraian dalam kitab tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.

Raja Ali Haji telah memulakan bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fi fadhilati al-‘ilmu wa ‘l-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘l-Lahu bihi khairan yafqahahu fi’d-din yang membawa pengertian “Barangsiapa dikehendaki Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama” (Bustan al-Katibin, 2005: 4).

Penggunaan kata Arab juga dapat dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi al-himmat, al-mudarasah, al-muhafazat, muzakarah dan mutala’at. Al-himmat merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga, al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz. Muzakarah yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan mutala’at yang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya (Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).

Penggunaan kata Arab juga digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel. Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel dirujuk sebagai harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:
Pertama, pada bahasa ‘Arab isim yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf.  (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)

PENUTUP
Bustan al-Katibin yang dikarang oleh Raja Ali Haji merupakan karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang telah membolehkan pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaan. Bustan al-Katibin mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraian dalam konteks bahasa pula luas dan mendalam. Karya ini juga membincangkan aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu yang sesuai bukan hanya untuk pembacaan pada zaman tersebut tetapi masih bermanfaat sehingga sekarang sebagai bahan untuk dikaji dan dibaca. Empat ciri yang terkandung dalam Seni Retorik dan Gaya Bahasa yang dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin ialah konsep retorik klasik, bentuk binaan ayat, frasa dan klausa, dan pengaruh bahasa asing. Pengarang menggunakan ayat yang panjang atau berbelit, ayat pasif atau songsang, kata pangkal ayat, kata partikel, pengaruh bahasa Arab dan retorik Melayu klasik dalam Bustan al-Katibin. Bustan al-Katibin secara keseluruhannya merupakan satu karya agung yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan boleh digunakan sebagai rujukan untuk membuat kajian sama ada dari segi kandungan atau nilainya.

SUMBER
Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

Nik Safiah Karim (2010). Tatabahasa bahasa melayu: daripada Bustan al-Katibin kepada tatabahasa dewan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Akademi Pengajian Melayu, UM










TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG MELAYU


KETOKOHAN PENGARANG KARYA AGUNG

PENGENALAN
Sesebuah karya diterima sebagai karya agung setelah meneliti secara terperinci ciri-ciri yang perlu ada untuk melayakkan diterima sebagai karya agung. Terdapat empat aspek yang diteliti untuk mengiktiraf sesuatu karya sebagai karya agung. Ciri-ciri tersebut ialah lambang dan pesanan yang ingin disampaikan, nilai budaya, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa. Keagungan sesebuah banyak bergantung kepada seni kepengarangan. Keagungan karya terpapar pada kebijaksanaan dan kehandalan pengarangnya menyampaikan ceritera. Daya cipta pengarang atau kebebasan seninya tidak semestinya diikat oleh tradisi ini. Pengarang tidak selalu berusaha untuk menutup sesuatu kesalahan malah pengarang cuba menceritakan perkara sebenar yang berlaku.

1) RAJA ALI HAJI
Nama sebenar Raja Ali Haji ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1804 di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau. Beliau merupakan kerabat bangsawan Melayu-Riau yang berasal daripada keturunan Daeng Bugis. Raja Ali Haji merupakan keturunan kedua ataupun cucu kepada Raja Haji Fisabilillah iaitu Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. Beliau telah meninggal dunia di Riau sekitar tahun 1873. Raja Ali Haji dibesarkan dalam istana dengan suasana yang amat mementingkan ilmu pengetahuan. Pada tahun 1822, ketika beliau masih kecil beliau pernah dibawa orang tuanya ke Betawi, Jakarta. Pada ketika itu, bapa Raja Ali Haji iaitu Raja Haji Ahmad menjadi utusan Riau untuk menjumpai Gabenor Jeneral Van Der Capellen di Betawi. Hal ini menjadikan puteranya iaitu Raja Ali Haji untuk menemui banyak ulama bagi mendalami ilmu agama terutamanya tentang ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering ditemui olehnya ialah Saiyid Abdur Rahman Rahman al-Mashri. Selain itu juga, Raja Ali Haji sempat belajar ilmu falak dengan beliau.

Selain dapat mendalami ilmu Islam, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil daripada pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang kemudiannya menjadi sahabatnya. Pada tahun 1827, Raja Ali Haji pergi ke Mekah dan beliau bersama bapanya. Mereka merupakan antara anak Raja Riau pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam jangkamasa yang agak lama. Semasa di Mekah, Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Setelah pulang dari Mekah, Raja Ali Haji disuruh oleh saudara sepupunya yang memegang jawatan sebagai Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII untuk mengajar agama Islam di pulau itu. Sepupunya itu juga turut sama-sama mendalami ilmu agama dengan tunjuk ajar Raja Ali Haji. Setelah beberapa lama mendalami ilmu agama, Raja Ali Haji mula mengajar penduduk Riau dengan ilmu nahu, ilmu sharaf, ilmu usuluddin, ilmu fiqh, ilmu tasauf dan banyak lagi. Raja Ali Haji bukan sahaja pakar dalam ilmu agama malahan juga dalam ilmu dunia sehinggakan ramai yang belajar daripada beliau sehinggalah menjadi tokoh terkemuka seperti Raja Haji Abdullah yang kemudiannya menjadi Yamtuan Muda Riau IX.

Bukunya yang bertajuk Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga jilid atau juga disebut sebagai penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang pertama di nusantara. Beliau juga menulis Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai (Hukum Nikah) dan Syair Sultan Abdul Muluk. Satu lagi karyanya yang menjadi karya agung bagi masyarakat Melayu ialah Tuhfat Al-Nafis yang bererti bingkisan berharga tentang sejarah Melayu dan juga Bustanul Katibin. Raja Ali Haji turut menulis Mukaddimah Fi Intizam iaitu berkaitan undang-undang dan politik.
Raja Ali Haji banyak menulis buku-buku terutamanya yang berbentuk sajak, syair dan juga bentuk ilmiah yang lain. Penulisan beliau yang bertajuk ‘Bustanul Katibin’ yang ditulis pada tahun 1850 dan ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ yang ditulis pada tahun 1858 merupakan satu bentuk tulisan tentang kepentingan bahasa. Dalam kedua-dua kitab ini, beliau banyak menyentuh aspek bahasa. ‘Bustanul Katibin’ merupakan karya awal beliau yang menceritakan tentang tatabahasa bahasa Melayu sehingga membolehkan para pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi.

Sumbangan Raja Ali Haji yang setrusnya ialah menerusi penulisannya yang bertajuk ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ yang banyak membincangkan kelas atau golongan kata, menghuraikan unit tatabahasa dan membincangkan aspek sintaksis sekaligus menjadi kamus pertama karya masyarakat tempatan sebelum abad ke-20. Kitab ini juga dijadikan sebagai kamus ekabahasa tertua di alam Melayu. Bahagian kamus dibincangkan secara terperinci sehingga menampakkan sebagai kamus terbaik dan boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam kalangan masyarakat pembaca. Entri dalam kamus ini juga dikatakan disusun dengan baik dan mudah difahami dengan contoh perkataan yang mencukupi selain memperlihatkan ciri-ciri morfologi dan juga sintaksis.

2) ABDUL SAMAD AL-FALAMBANI      
Nama sebenar Abdul Samad Al-Falembani ialah Syeikh Abdul Samad Al-Falembani. Beliau telah dilahirkan pada 1116 Hijrah bersamaan 1704 Masihi di Palembang. Nama asal tokoh ini dikatakan mempunyai tiga versi. Versi pertama adalah seperti yang diungkapkan dalam ensiklopedia Islam iaitu dikatakan nama asal beliau ialah Abdus Samad bin Abdullah Al-Jawi Al-Falembani. Versi kedua pula merujuk kepada sumber-sumber Melayu sebagaimana yang ditulis oleh Azyumardi Azra dalam bukunya yang berjudul Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII dengan mengatakan bahawa nama asli ulama besar ini ialah Abdul Samad bin Abdullah Al-Jawi Al-Falembani. Versi yang terakhir pula menyatakan bahawa apabila merujuk sumber-sumber Arab, nama lengkap Syeikh Al-Falembani ialah Sayyid Abdus Samad Abdurrahman Al-Jawi.

Dari segi salasilah, nasab Abdul Samad Al-Falembani berketurunan Arab iaitu dari sebelah bapa. Bapanya, Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab merupakan seorang ulama besar yang berasal daripada Yaman yang kemudiannya telah dilantik menjadi mufti bagi negeri Kedah pada sekitar awal abad ke-18. Ibunya bernama Radin Ranti pula merupakan seorang wanita Palembang yang dikahwini bapanya sebelum menikahi Wan Zainab yang merupakan puteri kepada Dato’ Seri Maharaja Dewa di Kedah ketika itu.

Syeikh Abdul Samad mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri, Syeikh Abdul Jalil di Kedah. Kemudian bapanya menghantar kesemua anaknya termasuk Syeikh Abdul Samad mengaji pondok di Pattani. Pada zaman itu dikatakan Pattani menjadi tempat semua orang Islam untuk menuntut ilmu-ilmu akhirat mengikut sistem pondok secara lebih mendalam lagi. Syeikh Abdul Samad bersama beberapa orang saudaranya yang lain iaitu Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah dihantar ke pondok-pondok yang terkenal oleh bapanya seperti Pondok Bendang Gucil di Kerisik, Pondok Kuala Bekah dan Pondok Semala yang terletak di Pattani. 

Abdul Samad telah berguru dengan pelbagai ulama. Di antara gurunya yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdul Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Kepada ulama inilah beliau mendalami pelbagai ilmu agama sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Samad al-Falembani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Beliau juga turut mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh Muhammad bin Saman selain mendalami kitab-kitab tasawuf daripada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Samsuddin al-Sumaterani yang mana kedua-duanya berasal daripada Acheh. Syeikh Abdul Samad merupakan seorang ulama yang rajin menulis. Antara hasil tulisannya ialah:
1)    Zahratul Murid Fi Bayani Kalimatit Tauhid.
2)    Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah.
3)    Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil Muttaqin.
4)    Siyarus Salikin Ila ‘Ibadati Rabbil Alamin.
5)    Al-‘Urwatul Wutsqa Wa Silsiltu Waliyil Atqa.

Abdul Samad al-Falembani merupakan seorang ulama Islam yang banyak menghasilkan karya. Melalui penulisan yang dibuat, Abdul Samad secara tidak langsung memberikan sumbangan yang tidak terhingga dalam dunia penulisan sastera Islam. Beliau juga dikatakan banyak mengkritik individu yang mengamalkan ilmu tarekat secara berlebihan.
Abdul Samad juga telah membantu umat Islam di Patani dalam melawan keganasan penjajah. Dalam satu peperangan, beliau telah dilantik menjadi antara orang penting untuk pasukan perangnya. Sheikh Abdul Samad bankyak memberikan sumbangan ilmiah apabila beliau sering menjadi rujukan masyarakat setempat berhubung dengan hukum agama selain mengajar anak-anak di kampungnya mendalami Islam.

3) ABDULLAH MUNSYI
Munsyi Abdullah merupakan bapa kesusasteraan moden kerana mampu memperkenal unsur  baru dalam bidang kesusasteraan. Munsyi Abdullah atau nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau dilahirkan pada hari Ahad, 7 Safar tahun 1976 Masihi bersamaan 1211 Hijrah di Kampung Masjid, Melaka iaitu juga dikenali Kampung Pali oleh orang-orang Keling waktu itu. Kelahiran Abdullah ini berlaku setelah lapan bulan selepas Inggeris mengambil Melaka dari tangan Inggeris. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik seibu sebapa dan kesemuanya lelaki. Namun begitu, ketiga-tiga adik beradiknya meninggal dunia semasa kecil. Beliau berketurunan keluarga peranakan Arab dan India. Ibunya bernama Salamah dan bapanya Syeikh Abdul Kadir.

Pada usia 11 tahun, beliau telah menerima gelaran “munsyi” yang membawa maksud “guru” daripada askar Islam di Melaka. Pada usia semuda itu, beliau berjaya melayakkan diri menjadi guru lantaran kepintaran dan keilmuannya. Lantas beliau menjadi guru mengajar pelajaran agama kepada askar-askar Islam di Melaka.
Beliau diberikan nama Abdullah kerana ibunya mengambil nasihat daripada seorang guru agama iaitu Habib Abdullah Hadad. Nasihat tersebut diberikan setelah ketiga adik beradik beliau meninggal dunia sewaktu kecil. Munsyi Abdullah mendirikan rumah tangga sewakru berumur 34 tahun, setelah tujuh tahun belajar dan bekerja dengan orang-orang Inggeris di Melaka.

Abdullah meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854 ketika berusia 58 tahun di Jeddah. Beliau meninggal sewaktu pelayarannya ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji kerana diserang penyakit kolera. Kisah perjalanan perjalanan ini dicatatkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah yang tidak tamat. Sejak kecil, Munsyi Abdullah dididik supaya mementingkan pelajaran. Antara individu yang memberi pendidikan awal kepada beliau ialah bapa, Neneknya Peri Achi, dan bapa saudara sebelah ibu, Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Bapa dan neneknya adalah orang yang berpengetahuan. Bapanya telah menerima pendidikan yang cukup seperti belajar mengaji al-quran, belajar bahasa Tamil dan Arab serta ilmu kira-kira. Lantaran latar belakang ayahnya yang berpendidikan menyebabkan beliau turut diajar dengan pelbagai ilmu.

Menurut Shellabear (1947) Neneknya, Peri Achi seorang guru besar di Pali. Abdullah ketika itu belum berusia 6 tahun sentiasa bergaul dengan anak-anak yang belajar mengaji, menulis dan membaca. Secara langsung mendorong minatnya untuk belajar. Menjelang usia tujuh tahun, Abdullah telah diberikan permainan kalam resam dan papan loh. Hal ini menyebabkan dia cepat pandai menulis dan membaca.

Munsyi Abdullah juga mempelajari ilmu kira-kira atas dasar minat beliau ke atas ilmu tersebut. Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari bidang bahasa. Beliau bukan sahaja belajar Melayu tetapi juga bahasa Tamil dan bahasa Arab, Bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi. Beliau telah mempelajari bahasa-bahasa tersebut sewaktu beliau sendiri yang mengajar bahasa Melayu kepada paderi-paderi Inggeris spserti paderi Milne, Thompson dan sewaktu bekerja dengan Tuan Raffles serta askar-askar Inggeris,. Dalam tahun 1810, ketika berusia 14 tahun beliau telah menguasai bahasa Melayu, Tamil, Hindustan dan Arab dengan baik. Beliau pernah belajar bahasa Melayu daripada Datok Sulaiman dan Datok Astor. Pelajaran Islam dan al-quran pula didalaminya melalui bimbingan kursus daripada mualim Arab iaitu Mualim Muhyddin.

Beliau amat dikenali dengan penulisan riwayat hidupnya iaitu Hikayat Abdullah.  Menurut Siti Aisah Murad(1996) Abdullah menyelesaikan Hikayat Abdullah pada 3 Mei 1843. Kemudian diterbitkan pada bulan Mac 1891 di Singapura. Pada permulaan hikayat Abdullah dapat dilihat sikap dan pemikirannya terhadap kepentingan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan ilmu pengetahuan yang lain. Seterusnya Abdullah mengemukakan pandangan terhadap sikap orang Melayu yang mundur  berbanding dengan Inggeris yang maju dan sikap-sikap raja yang zalim. Persoalan dasar yang mahu diketengahkan oleh Munsyi Abdullah ialah mengutarakan pandangan dan pendapat kehidupan orang Melayu di negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada tiga belas hari bulan, iaitu Tahun Baru Cina, pukul 7.30 malam telah berlaku kebakaran di kota. Semua barang-barang miliknya seperti hikayat, buku dan pakaian. Lantaran peristiwa tersebut Munsyi Abdullah menghasilkan Syair Singapura Terbakar. Dalam syair ini, beliau menceritakan berkenaan peristiwa yang dilalui dan dirasai ekoran berlakunya kebakaran tersebut.

Pada tahun tahun 125I Hijrah sewaktu di Melaka di Melaka, beliau telah menterjemahkan Hikayat Panca Tanderan. Hikayat ini merupakan hikayat berbahasa Hindu yang berjudul Hikayat Kalilah dan Daminah. Beliau juga telah menyunting “Injil Yahaya” dalam bahasa Melayu dan menerbitkan sejarah Melayu. Karya penterjemahan yang lain adalah “Perhimpunan Saudagar-saudagar”. Beliau juga telah memperbaiki Sejarah Melayu dan Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri.
Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Munsyi Abdullah menggunakan kaedah yang tersendiri semasa mengarang. Karya beliau diciptakan secara kronologi iaitu mengikut urutan peristiwa seperti kelahirannya didahulukan(hikayat Abdullah) dengan perkembangan yang dialami hingga kematiannya. Begitu juga dalam Kisah Pelayaran Abdullah. Plot disusun dengan merujuk kepada siri peristiwa dan kejadian yang berlaku  kepada diri sendiri serta alam sekelilingnya.

4) TUN SRI LANANG
Tun Sri Lanang merupakan timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.

Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.

5) HAMZAH FANSURI
Hamzah Fansuri adalah tokoh ugama yang menggegarkan dunia melalui puisi-puisi sufinya. Menurut sastrawan Abdul Hadi MW, Hamzah Fansuri merupakan pencipta "syair Melayu" yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir "a-a-a-a". Bakatnya sebagai sasterawan besar terserlah dalam kemampuan dan kreativitinya merubah bahasa lama menjadi bahasa baru dengan cara memasukkan ratusan kata Arab, istilah konseptual dari Al Quran dan falsafah Islam. Bahasa ini kemudiannya menjadi sebagai bahasa intelektual yang dihormati sebab dapat menampung gagasan baru yang diperlukan pada zaman itu. Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur iaitu sebuah kawasan yang merupakan pusat pendidikan Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal.Hamzah mendapat pendidikan di merata tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara Arab. 

Sekembalinya ke Barus, beliau menjadi guru agama di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah ( 1588-1604).  Salah seorang pelajarnya ialah Syamsuddin Al-Sumaterani. Hamzah berkebolehan dalam bidang pendidikan dan pernah menjadi penasihat kepada Sultan Aceh dan banyak membantu Sultan Aceh dalam hal pentadbiran negeri. Hamzah bukan sahaja ulama tetapi juga seorang sasterawan.  Beliau menguasai bidang agama, fikah, tasawuf, mantik, sejarah, falsafah, dan menguasai pelbagai bahasa seperti Urdu, Arab dan Parsi. Dalam bidang sastera, Hamzah terkenal sebagai seorang penyair.  Karangan syairnya banyak mengandungi unsur falsafah yang tinggi. Hamzah telah memperkenalkan sastera sufi atau mistik. Hamzah adalah pengasas dan berpegang kuat kepada Aliran Wahdatul Wujud.  Beliau telah mendirikan madrasah dan mempunyai ramai pelajar atau pengikut dan merupakan pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan. 

Hamzah adalah pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan yang bersifat akhliah atau ilmiah.  Karyanya ditulis dalam Bahasa Melayu.  Kebolehannya dalam pelbagai bahasa membolehkannya menghayati karya-karya dari bahasa lain. Contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama dan tasawuf ialah Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair Sidang Fakir.   Berdasarkan pemikiran beliau yang tinggi dalam karya-karyanya beliau ditempatkan sebagai pelopor kesusasteraan Melayu Moden oleh Syed Naquib Al Attas dan bukannya Munsyi Abdullah seperti yang dikemukakan oleh sarjana Barat.
Pengaruh karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri terhadap masyarakat pada zamannya amat besar terutama fahaman Wahdatul Wujud yang disebarkannya.  Pengikutnya yang terkenal ialah Syamsuddin Al-Sumaterani.

6) SYAMSUDDIN AL-SUMATRANI
Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani yang hidup abad 16-17 Masihi. Beliau adalah Sheikhul Islam atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604). Beliau juga terkenal sebagai salah seorang pendokong kuat fahaman Martabat Tujuh. Tarikh wafat nya ada dicatatkan oleh musuh pegangannya,Nuruddin ar-Raniri,iaitu pada malam Isnin,12 Rejab 1039H/1630M. Sejak lama Aceh telah dikenal sebagai satu-satunya daerah yang aksentuasi keislamannya paling menonjol. Selain menonjolnya warna keislaman dalam kehidupan sosio-kultur di sana, ternyata di Serambi Mekah ini pernah tersimpan pula sejumlah Sufi ternama semisal Samsuddin Sumatrani. 

Syamsuddin Sumatrani adalah salah satu tokoh sufi terkemuka yang telah turut mencorak esoteris pada wajah Islam di Aceh. Diantara sumber tua yang dapat dijumpai mengenai potret Syamsuddin Sumatrani adalah Hikayat Aceh, Adat Aceh, dan kitab Bustanu al-Salathin. Mengenai asal-usulnya, tidak diketahui secara pasti bila dan di mana ia lahir. Perihal sebutan Sumatrani yang selalu diiringkan di belakang namanya, itu merupakan penisbahan dirinya kepada “negeri Sumatra” alias Samudra Pasai. Sebab memang di kepulauan Sumatra ini dulunya pernah berdiri sebuah kerajaan yang cukup ternama, yakni Samudra Pasai. Itulah sebabnya ia juga adakalanya disebut Syamsuddin Pasai. 

Aktiviti penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang dimulai oleh Hamzah Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syamsuddin Sumatrani sebagai murid nya. Apa yang ditulis oleh Syamsuddin Sumatrani adalah senada dan seirama dengan fahaman dan tulisan Hamzah Fansuri. Pengetahuan sufi tahap muntahi kedua tokoh ini tidak pernah ditentang oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (Syiah Kuala) sepertimana diputarbelitkan dari sudut sejarah dan ilmiyah oleh setengah penulis yang mengatakan Abdul Rauf Fansuri memihak kepada Nuruddin ar-Raniri. Pembicaraan Martabat 7 yang dimulai dari Hamzah Fansuri turun kepada Syamsuddin Sumatrani,turun kepada Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, kemudian kebelakang disokong oleh beberapa orang ulama nusantara seperti Abdus Shamad al-Falimbani. Didalam karya nya ‘Siyarus Salikin’, Abdus Shamad al-Falimbani mengiktiraf karya-karya Syamsuddin Sumatrani sebagai ajaran tasauf peringkat muntahi. Karya-karya Syamsuddin Sumatrani ditulis sebagian berbahasa Arab, sebahagian lagi berbahasa Melayu (Jawi). 

SUMBER 
Hashim Awang etc (1990). Mendekati kesusasteraan melayu. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
 Hassan Ahmad(2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur:Yayasan Karyawan
 Siti Aishah bin Murad (1996). Abdullah Munsyi dan masyarakat melayu. Kuala Lumpur:Dewan bahasa dan Pustaka.
 Siti Hawa Haji Salleh(2009). Kelopak pemikiran sastera Melayu. Bangi:Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.