PENDAHULUAN
Karya Agung ditakrifkan sebagai satu hasil penulisan
yang tinggi mutunya dan dihasilkan oleh tokoh pengarang Melayu. Karya Agung
mengandungi semua unsur tetapi yang utamanya ialah kualiti penulisan yang dapat
mengangkat martabat bangsa dan tamadun. Kualiti bahasa yang terdapat dalam
karya agung juga bagus, mudah difahami, penampilan pelbagai struktur ayat, kosa
kata yang bagus dan boleh dikaji daripada pelbagai aspek sama ada dari segi isi
kandungan atau nilai masyarakat. Karya agung turut melibatkan banyak bidang
kajian. Ketokohan penulis karya agung juga telah dinilai oleh panel yang
dilantik. Antara contoh karya agung
ialah Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Pelayaran
Abdullah dan Bustan Al-Katibin. Karya-karya agung tersebut mempunyai nilai
keindahan dari segi struktur ayat, kosa kata, dan isi kandungannya yang
tersendiri.
TAKRIF/KONSEP KARYA AGUNG
Karya agung ialah karya klasik yang telah
meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang
berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap
sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya
itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi
dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India,
Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah,
sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala
mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman,
dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya
sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
KONSEP KARYA AGUNG MELAYU
Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan
keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala
dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran
moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang
tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman
dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak
sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.
Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis
atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain)
dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan
Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang
Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain
yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak
timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu
mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran,
sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu
turun-menurun.
KONSEP KARYA AGUNG DUNIA MELAYU
Karya Agung Dunia Melayu dimaksudkan kepada karya
agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau
bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam
bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung,
antaranyaNagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa,
atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini
jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia
Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji,
diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.
PENUTUP
Karya agung Melayu merupakan satu khazanah orang
Melayu itu sendiri. Kandungan karya agung ini juga memberi kesan kepada
kehidupan dan pemikiran manusia. Kisah-kisah yang dimuatkan dalam karya agung
turut boleh dijadikan teladan dan panduan dalam hidup masyarakat Melayu itu
sendiri. Hal ini menunjukkan karya agung mampu membawa perubahan yang baik
dalam hidup sesebuah masyarakat kerana menyampaikan pengajaran, nasihat dan
nilai murni.
SUMBER
No comments:
Post a Comment