Tuesday 21 May 2013

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU



TAKRIF MELAYU
Istilah Melayu dapat ditakrifkan kepada dua, iaitu maksud berdasarkan istilah awal perkataan tersebut dan maksud berdasarkan bangsa Melayu itu sendiri.  

TAKRIF BERDASARKAN ISTILAH AWAL
Terdapat pelbagai pihak yang memberikan pendapat dan pandangan tentang takrif “Melayu”. Antara pendapat tentang pengertian Melayu adalah pendapat daripada Zuber Osman. Beliau menyatakan perkataan tersebut dikatakan berasal daripada perkataan Himalaya yang bermaksud salji atau salju (hima) dan tempat (alaya). Perkataan Himalaya yang bermaksud tempat yang sejuk itu kemudiannya disingkatkan menjadi Malaya. Perkataan yang disingkatkan itulah dikatakan sebagai asal perkataan ‘Melayu’.

Selain itu, perkataan Melayu dikatakan berasal daripada perkataan Malaiyur-pura. Perkataan Malaiyur-pura yang membawa maksud kota malaiyur atau kota gunung merupakan salah satu perkataan yang terpahat pada prasasti Bukit Gombak I di Sumatera Barat. Perkataan “Melayu” dikatakan berasal daripada perkataan Malaiyur-pura apabila perkataan tersebut disingkatkan menjadi malaiyu, kemudian menjadi malayu dan akhir sekali menjadi ‘Melayu’.


Pengertian ‘Melayu’ turut dikaitkan dengan peristiwa serangan yang berlaku di Hulu Jambi, iaitu sempadan Sumatera Barat oleh Raja Kertanegara dari Singhasari Jawa Timur. Sebuah prasasti, iaitu prasasti Amoghapasa telah dibina di kawasan tersebut sebagai tanda peringatan untuk peristiwa ekspedisi perang dari Jawa Timur ke daerah Melayu pada tahun 1286. Serangan dan penguasaan terhadap negeri Melayu itu dikenali sebagai Pamalayu yang bermaksud ekspedisi Malayu.


‘Melayu’ berasal daripada perkataan Mlayu dalam perkataan Jawa Kuno dan Jawa Baru membawa pengertian berlari atau mengembara. Pendapat ini dikaitkan dengan pergerakan orang Indo-Melayu, iaitu orang Austronesia yang bergerak dari Yunan.


Sebuah kerajaan yang berpusat di Muara Jambi pada abad ketujuh, iaitu 644M dinamakan sebagai Kerajaan Mo-lo-yeu yang diambil namanya bersempena dengan nama sebatang sungai yang terletak di sekitar kerajaan itu. Sungai tersebut dikenali sebagai Sungai Malayu dan dipercayai daripada nama itulah wujudnya perkataan “Melayu” yang disebut-sebut sehingga hari ini. Kerajaan tersebut pernah dilawati oleh rahib Buddha yang bernama I-Tsing pada 671M. Catatan orang China turut mencatatkan bahawa sebuah kerajaan, iaitu Kerajaan Mo-lo-yeu telah mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644M hingga 645M.
Di samping itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan Malaju. Perkataan tersebut dikatakan berasal daripada kata dasar laju yang bermaksud cepat, deras dan tangkas. Melalui perkataan Malaju itu dapat digambarkan cirri-ciri orang Melayu yang bersifat tangkas, cergas dan segala tindak-tanduknya cepat dan deras.

TAKRIF BERDASARKAN BANGSA
Takrif Melayu berdasarkan bangsa bermaksud seseorang itu mestilah berketurunan suku Melayu dari segi darah dagingnya, bertutur bahasa atau dialek Melayu, berkebudayaan dan mengamalkan adat resam Melayu. Pengertian mengikut bangsa dapat dibahagikan kepada dua, iaitu pengertian luas dan pengertian sempit. Pengertian luas bermaksud konsep yang tidak terbatas dan tidak sempit. Pengertian sempit pula merupakan konsep yang tidak luas liputan atau tafsirannya.

Pengertian luas bagi istilah Melayu adalah bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan gugusan Kepulauan Melayu. Selain itu, konsep Melayu turut merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar (The Malay Culture Study Project, 1972). Jadi, Melayu yang didefinisikan dalam pengertian yang luas bermaksud bangsa yang berbahasa Melayu dan mendiami kawasan Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera dan beberapa tempat lain di Nusantara. Pengertian luas ini juga merujuk kepada etnik-etnik seperti etnik Minangkabau, Jawa, Bugis dan Banjar.


Pengertian sempit istilah Melayu pula merupakan maksud Melayu yang telah didefinisikan dalam Perlembagaan Malaysia. Pengertian tersebut termaktub dalam Perkara 160 (2) yang menyatakan bahawa seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai orang Melayu apabila memiliki ciri-ciri lazim seperti berbahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu dan beragama Islam. Selain itu, pengertian sempit bagi Melayu turut dirujuk mengikut sesebuah daerah atau negeri. Contohnya, orang Melayu Johor, orang Melayu Kelantan dan orang Melayu Kedah.  

Menurut United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Melayu merupakan satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama, bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut lurus dan mempunyai tinggi yang sederhana. Pengertian yang diberikan oleh pihak UNESCO merujuk kepada bangsa yang dikenali sebagai Malayo-Polynesia (Melayu-Polinesia) atau Austronesia pada suatu ketika dahulu.
            
Bangsa Melayu yang dinyatakan itu merupakan penduduk asli di suatu kawasan yang sangat besar, iaitu dari Madagaskar yang terletak di pantai timur benua Afrika di barat hingga ke Pulau Paskah (Easter Islands) di Lautan Pasifik berhampiran dengan Republik Chile di timur, dari Kepulauan Hawaii dan Taiwan di utara hingga ke Pulau New Zealand di selatan. Taburan bangsa Melayu di seluruh kawasan tersebut merangkumi pelbagai suku kaum seperti kaum Aceh, Batak, Jawa, Bugis, Sunda dan Filipino.

ETIMOLOGI / ASAL USUL MELAYU
Etimologi merupakan cabang ilmu linguistik yang mengkaji tentang asal usul dan perkembangan sesuatu kata (kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 402). Jadi, perbincangan tentang asal usul bangsa Melayu akan dikupas berdasarkan pendapat-pendapat para sarjana sama ada ahli sarjana Barat atau ahli sarjana tempatan.

PENDAPAT SARJANA BARAT
Pendapat tentang asal usul bangsa Melayu sering dibahaskan dan terdapat pelbagai pendapat tentang perkara tersebut. Terdapat tiga pendapat utama yang dikemukakan oleh para sarjana Barat berkaitan dengan asal usul bangsa Melayu. Pendapat pertama menyatakan orang Melayu berasal dari Champa, iaitu dari bahagian tengah Vietnam. Pendapat kedua pula menyatakan orang Melayu berasal dari Tonkin, China. Selain itu, orang Melayu juga dikatakan berasal dari Yunan dan ia merupakan pendapat yang paling popular dalam menyatakan tentang etimologi bangsa Melayu.

(i) BANGSA MELAYU BERASAL DARI CHAMPA
Vietnam dan Kemboja terdiri daripada penduduk yang kebanyakannya bertutur keluarga bahasa yang dinamakan sebagai Austro-Asiatic. Kedua-dua buah negara ini pada suatu ketika dahulu merupakan wilayah orang Melayu yang sangat luas kawasannya. Wilayah Champa ini menonjolkan ciri-ciri ketamadunan Melayu dari segi budaya dan negeri-negeri yang terdapat dalam wilayah tersebut.
            
Kerajaan Melayu Champa merupakan sebuah kerajaan yang besar dan ternama yang dibina di pesisir pantai bahagian tengah negara Vietnam. Kerajaan tersebut dipercayai telah wujud dari awal abad kedua Masihi atau mungkin lebih awal dari itu. Kerajaan tersebut telah wujud lebih daripada seribu tahun.
            
Seorang sarjana Barat, Peter Bellwood menyatakan bahawa masyarakat Melayu telah pun mendiami rantau Indochina, iaitu di negara Vietnam dan Kemboja seawal tahun 1200 Sebelum Masihi (SM). Pendapat tersebut adalah berasaskan kepada bukti-bukti arkeologi yang ditemui di negara Vietnam. Bukti-bukti arkeologi yang ditemui itu juga menunjukkan kewujudan satu lagi tamadun yang lebih awal daripada Kerajaan Melayu Champa. Tamadun yang dinamakan sebagai tamadun Sa Huynh itu merupakan pemula (predecessor) kepada tamadun Melayu Champa. Masyarakat ketika tamadun Sa Huynh dipercayai turut bertutur dan menggunakan bahasa Melayu. Bukti-bukti arkeologi yang ditemui ketika tamadun Sa Huynh terdiri daripada bahan-bahan peninggalan, iaitu artifak besi buatan tempatan dan manik-manik. 
            
Masyarakat Melayu masih mendiami kawasan-kawasan di tanah besar Asia sehingga ke hari ini. Contohnya seperti etnik Melayu Rhade dan Jarai yang tinggal di tengah negara Vietnam, masyarakat Melayu Cham di Kemboja dan masyrakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dari selatan ke utara sehinggalah ke Kepulauan Mergui, iaitu sebahagian daripada negara Myanmar.

(ii) BANGSA MELAYU BERASAL DARI TONKIN, CHINA
Bangsa Melayu dikatakan berasal daripada sebuah pulau, iaitu Pulau Hainan yang terletak di Teluk Tonkin, China. Pulau tersebut didiami oleh masyarakat Melayu yang dikenali sebagai orang Utsal atau orang Cham-Hainan di bahagian pantai sebelah selatan Pulau Hainan. Masyarakat tersebut dipercayai telah mendiami kepulauan tersebut tidak kurang daripada 2000 tahun lalu.
            
Pada awalnya, pulau tersebut hanya didiami oleh orang Melayu sahaja tetapi satu kumpulan bangsa lain, iaitu bangsa Li yang datang dari tanah besar China telah memasuki dan mendiami kepulauan tersebut. Hal ini adalah berikutan daripada tekanan daripada orang Cina sendiri yang meluaskan negeri mereka. Keadaan tersebut telah menyebabkan bangsa Li mendominasi kepulauan tersebut dan jumlah mereka mengatasi jumlah masyarakat Melayu peribumi di pulau itu.
            
Selain bangsa Li, peneroka dan pendatang Cina juga mula sampai dan membuka petempatan di kawasan pantai dan bahagian utara Pulau Hainan dari tahun 1100. Kemasukan pendatang Cina yang ramai memaksa orang Li berpindah ke kawasan bukit dan bahagian selatan pulau tersebut. Keadaan tersebut memberi kesan kepada orang Melayu yang mendiami di bahagian selatan. Orang Li mula memberontak akibat tekanan tersebut dan hal itu menyebabkan orang Cina membawa masuk sekumpulan bangsa yang dikenali sebagai bangsa Miao untuk membantu mereka menewaskan orang Li. Sejak daripada peristiwa itu, orang Miao terus menetap di Pulau Hainan.
            
Bangsa Melayu turut dikatakan berasal dari Tonkin, China berdasarkan daripada bukti penemuan artifak seperti gendang. Gendang-gendang yang dijumpai di Tembeling, Jawa dan Bali mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bahan artifak yang ditemui di kepulauan Hainan, Tonkin. Persamaan yang dapat dilihat adalah dari segi lukisan pada gendang tersebut. Contohnya seperti lukisan perahu, lukisan orang menumbuk padi, lukisan orang meniup alat muzikmdan lukisan burung-burung.
            
Masyarakat Melayu yang mendiami kepulauan tersebut kini berjumlah lebih kurang enam ribu orang sahaja, iaitu hanya 0.7 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan penduduk Pulau Hainan. Mereka masih bertutur dalam bahasa Melayu yang dikenali sebagai bahasa Tsat. Bahasa yang digunakan pada masa kini telah menagalami perubahan dari segi sifatnya akibat daripada pengaruh bahasa Cina.

(iii) BANGSA MELAYU BERASAL DARI YUNAN
Penduduk Kepulauan Asia Tenggara dikatakan berasal dari tanah besar Asia Tenggara. 
Kemudian, mereka berpindah menuju ke selatan melalui pelbagai laluan dan perpindahan tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Teori yang menyatakan bangsa Melayu berasal dari Yunan merupakan teori yang paling popular.
            
Menurut pendapat Asmah Haji Omar, sebelum dua gelombang penghijrahan berlaku, Kepulauan Melayu telah pun mempunyai masyarakat yang mendiaminya. Masyarakat tersebut dikenali sebagai orang asli dan dinamakan dengan nama Negrito. Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di situ dan dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Mereka dikatakan telah berada di sini sejak 1000 tahun sebelum Masihi berdasarkan bukti penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Orang Negrito digambarkan mempunyai ciri-ciri fizikal seperti berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh dan saiz badannya pula kecil dan pendek. Masyarakat orang asli ini tinggal di dalam gua dan mereka menjalankan aktiviti perburuan bagi mendapatkan mata pencarian. Aktiviti perburuan binatang dijalankan dengan hanya menggunakan batu sebagai alat untuk memburu. Pada masa kini, masyarakat orang asli masih wujud di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan  orang Batak di Sumatera, Indonesia.

Dua gelombang penghijrahan yang berlaku adalah perpindahan bangsa Melayu Proto yang merupakan penutur bahasa Austroasia dan perpindahan bangsa Melayu Deutro yang merupakan penutur bahasa Austronesia. Melayu Proto dipercayai merupakan nenek moyang Orang Asli manakala bangsa Melayu Deutro dikatakan nenek moyang orang Melayu yang wujud sehingga hari ini.
Perpindahan pertama adalah perpindahan bangsa Melayu Proto yang berlaku pada 3000 SM hingga 1500 SM dari tanah Yunan yang terletak di barat daya negeri China. Masyarakat Melayu Proto berpindah dari kawasan pergunungan melalui beberapa laluan dan sebab perpindahan tidak dinyatakan dengan jelas.
          
Laluan perpindahan yang pertama adalah dari hulu sungai di Myanmar ke selatan. Kemudian, mereka melalui pulau-pulau Nicobar dan ke hujung utara pulau Sumatera yang kini dikenali sebagai negeri Aceh. Dari negeri Aceh itulah mereka menuju ke selatan dan ke pulau-pulau lain di sekitar Asia Tenggara. Laluan kedua pula bermula dari hulu sungai di utara Thailand. Mereka bergerak menuju ke selatan sehingga ke Segenting Kra. Kemudian, perjalanan mereka diteruskan ke Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa dan pulau-pulau lain.
            
Perpindahan melalui laluan ketiga adalah dari hulu-hulu sungai di Vietnam dan Laos ke arah selatan. Kemudian, dari situ mereka menyeberang ke Kalimantan dan ke pulau-pula lain. Laluan keempat pula meliputi pergerakan dari Formosa atau Taiwan ke kepulauan-kepulauan di Filipina. Mereka kemudiannya bergerak terus ke selatan dan pulau-pulau lain.
            
Bangsa Melayu Deutro pula merupakan bangsa yang melakukann penghijrahan sekitar 1500 tahun sebelum Masihi sehingga 300 tahun selepas Masihi. Penghijrahan itu dikenali sebagai penghijrahan gelombang kedua dan sebab-sebab penghijrahan tidak dapat dipastikan. Melayu Deutro dikatakan berhijrah atau berpindah ke bahagian selatan melalui jalan yang telah dilalui oleh bangsa Melayu Proto. Perpindahan ke bahagian selatan itu telah mendesak bangsa Melayu Proto untuk berpindah ke kawasan-kawasan terpencil seperti kawasan hulu sungai dan  kawasan pergunungan. Bangsa Melayu Deutro yang lebih maju dan lebih tinggi tamadunnya mendiami kawasan tanah pamah yang rendah, kawasan lembah sungai dan di tepi laut.
Pendapat tentang bangsa Melayu berasal dari Yunan, China juga dibuktikan dengan penemuan serpihan alat gangsa yang dinamakan sebagai Gangsa Dongsong. Serpihan-serpihan logam itulah dijadikan sebagai bukti yang nyata untuk menunjukkan penghijrahan bangsa Melayu pada suatu ketika dahulu.

PENDAPAT SARJANA TEMPATAN
Bangsa Melayu dikatakan berasal dari rantau Nusantara menurut pandangan para sarjana tempatan. Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J. Crawfurd, K. Himly dan Gorys Keraf. Teori ini dijelaskan dengan alasan-alasan sebagai bukti penghujahan bagi pendapat tersebut.

Antara alasan yang digunakan adalah bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19. Tahap ketamadunan yang dicapai oleh kedua-dua bangsa tersebut menunjukkan mereka sememangnya berasal dari Nusantara. Pendapat ini dikemukakakn oleh J. Crawfurd yang telah membuat kajian dalam perbandingan bahasa di Sumatera, Jawa dan kawasan Polinesia. Hasil kajian tersebut, beliau mendapati bahawa bahasa asal yang tersebar di seluruh Nusantara adalah berasal daripada bahasa di Pulau Jawa, iaitu bahasa Jawa dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera, iaitu bahasa Melayu.
Kedua-dua bahasa tersebut merupakan bahasa induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di kawasan Nusantara. Beliau turut mendapati bahawa orang Melayu tidak berasal dari mana-mana kerana bangsa tersebut merupakan induk yang tersebar ke tempat lain. Selain itu, beliau menyatakan bahawa bahasa Jawa merupakan bahasa yang tertua dan menjadi bahasa induk bagi bahasa-bahasa lain.

Seorang sarjana tempatan yang bernama K. Himly sama sekali tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Champa. Beliau melakukan kajian terhadap perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Champa dengan pelbagai bahasa di Asia Tenggara ini. Beliau telah menyangkal pendapat tersebut dan ia disokong oleh P.W. Schmidt yang turut mendapati bahawa persamaan yang berlaku dalam bahasa-bahasa tersebut merupakan suatu fenomena ambilan sahaja.

Pendapat daripada Gorys Keraf dalam bukunya yang bertajuk Linguistik Bandingan Historis (1984) telah mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi yang mengkaji tentang asal usul bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Kebanyakan hujah tentang asal usul bangsa Melayu yang telah dikemukakan oleh para sarjana terdahulu ditolak oleh beliau. Beliau berpendapat bahawa negara Indonesia dan Filipina merupakan negeri asal bagi nenek moyang bangsa Austronesia dengan menyatakan bahawa “… negeri asal (tanah air, homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termsuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografis”.  

Selain itu, terdapat juga pendapat lain tentang asal usul bangsa Melayu. Ada pendapat  menyatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu telah berpisah dan berpecah akibat daripada pencairan ais secara perlahan-lahan ketika zaman Kuarters atau Kala Wurn kira-kira dua juta sehingga 500 ribu tahun lalu. Pencairan ais yang berlaku telah menyebabkan air laut melimpah ke kawasan yang lebih rendah. Fenomena tersebut menjadikan kawasan dataran tinggi menjadi pulau yang dikenali sebagai Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Kalimantan dan pulau-pulau lain di sekitar Indonesia. Kawasan dataran yang berpecah dan terpisah juga berlaku akibat letusan gunung berapi dan gempa bumi.  

Berdasarkan beberapa pendapat yang telah dikemukakan didapati bahawa kebanyakan ahli sarjana mengeluarkan pendapat sebegitu berdasarkan bukti geografi. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu pada masa kini berasal daripada rumpun Austronesia. Kajian arkeologi yang dilakukan terhadap tengkorak manusia mendapati tengkorak manusia di Nusantara lebih tua berbanding tengkorak manusia yang terdapat di Asia Tengah. Alasan lain yang turut dikemukakan bagi mengukuhkan lagi teori ini adalah penemuan manusia kuno, iaitu Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis yang terdapat di Pulau Jawa. Kewujudan bukti tersebut jelas menunjukkan terdapat kemungkian bahawa orang Melayu berasal dari Jawa dan telah mewujudkan tamadunnya sendiri di kawasan tersebut.

Penemuan tengkorak dan tulang rangka manusia purba di Pulau Jawa telah menunjukkan bahawa terdapat manusia yang mendiami daerah yang sangat luas yang tersebar hampir sebahagian daripada dunia. Masyarakat manusia yang mendiami kawasan itulah dikenali sebagai the Malay Stock atau Rumpun Melayu.  

SUMBER
Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain (2006). Sejarah bahasa melayu. Kuala 

No comments:

Post a Comment