Tuesday 21 May 2013

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT (ADAT ISTIADAT)


PENDAHULUAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 : 8), adat ditakrifkan sebagai peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam masyarakat. Peraturan ini diamalkan sehingga ianya menjadi satu hukum yang perlu dipatuhi oleh semua. Hukum adat akan dikendalikan oleh satu badan yang dikenali sebagai Majlis Orang Tua. Majlis ini diketuai oleh ketua adat. Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan dan diwarisi secara turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang tidak boleh dilanggar. Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini merupakan kebudayaan undang-undang sistem masyarakat, upacara, dan semua kebiasaan yang sering dilakukan. Namun begitu, pada masa kini makna adat dalam masyarakat Melayu sudah menjadi semakin khusus dan mengecil yakni upacara kebiasaan dan unsur masyarakat yang tidak digolongkan sebagai unsur Islam.

Konsep adat ini telah diberi pelbagai takrif oleh pelbagai masyarakat di Alam Melayu. Antara konsep yang berkait dengan adat ialah adat sebagai kelakuan dan kebiasaan yang betul, adat dengan makna yang khusus, adat sebagai prinsip semula jadi alam, adat sebagai hukum dan undang-undang negara dan masyarakat umum, adat sebagai segala perlakuan upacara dan adat sebagai susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya. Dalam konsep-konsep tersebut, adat adalah keseluruhan corak hidup atau kebudayaan manusia di alam nyata. Adat juga menjadi ciri kehidupan.

Pengertian yang mendalam sebegini tidak lagi berlaku dalam masyarakat Melayu masa kini. Hukum adat sudah menjadi undang-undang, hukum alam sudah menjadi sains, dan bidang kepercayaan pula menjadi agama. Pengertian adat itu sendiri menjadi semakin sempit. Pada masa kini, adat sering dimaksudkan sebagai adat istiadat atau upacara tradisional. Apabila adat dikatakan sebagai upacara, hal ini bermaksud adat sudah mendapat makna yang sempit kerana upacara merangkumi segala perbuatan, kegiatan, peralatan, acara dan perlakuan yang teratur dan tersusun berkaitan dengan sesuatu kepercayaan. Kepelbagaian upacara telah dianggap sebagai adat bukan sebagai ajaran agama.

Adat juga seringkali dipertentangkan dengan perlakuan Islam sehinggakan adat sesetengah adat dikatakan melanggar akidah Islam. Contohnya, adat bersanding. Dari segi kebudayaan Melayu, perlakuan tersebut ialah sistem adat istiadat dalam bentuk upacara sebenarnya. Penyempitan makna terhadap adat inilah yang menjadi satu faktor penyebab perlunya didedahkan kepada masyarakat mengenai adat sebenar dan cara amalan adat tersebut yang paling tepat yang wujud dalam masyarakat Melayu.

ADAT ISTIADAT DALAM MASYARAKAT MELAYU

Pada masa kini, pengertian dan amalan adat telah berubah menurut perkembangan pengetahuan ilmu dalam masyarakat. Adat istiadat dalam masyarakat Melayu di Malaysia terbahagi kepada dua jenis iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Pembahagian adat ini sekiranya dilihat dari satu sudut boleh dikatakan sebagai tanggapan asli masyarakat Melayu di Malaysia. Namun begitu, penelitian yang mendalam akan menunjukkan bahawa pembahagian ini digolongkan oleh pengkaji Inggeris yang membezakan antara peraturan adat di Negeri Sembilan dan Naning, di utara Melaka daripada negeri lain di Malaysia.

Pembahagian dua jenis adat ini tidak terdapat dalam manuskrip undang-undang Melayu tetapi hanya terdapat dalam teromba atau lagenda asal usul adat Perpatih. Dalam teromba disebutkan bahawa Adat Perpatih itu bermula di Minangkabau, Sumatera. Di Malaysia, terdapat perbezaan yang diterjemahkan sebagai perbezaan antara undang-undang Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning dengan Adat Temenggung di negeri-negeri lain. Selain itu, dalam masyarakat Melayu hanya ada dua amalan adat iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Sekiranya wujud pendapat lain mengenai amalan adat, amalan adat tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sama ada ianya adalah amalan adat ataupun hanya sekadar upacara. Hal ini kerana salah faham mengenai adat dan upacara dalam masyarakat pada masa kini kian meruncing.

Adat Perpatih dan Adat Temenggung mempunyai ciri-ciri dan amalannya yang tertentu. Ciri-ciri dan amalan itulah yang menjadikan adat-adat ini istimewa dan unik untuk masyarakat pengamalnya sendiri. Antara kedua-dua adat ini, Adat Perpatih lebih berperaturan lengkap dan terikat berbanding dengan  Adat Temenggung yang tidaklah terlalu terikat. Namun begitu, kedua-dua adat ini masih mempunyai tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

ADAT PERPATIH

Adat perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan di Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat ini diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih diwarisi secara turun-temurun.

Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dlihat dalam pembahagian harta dan juga jurai keturunan. Namun begitu, keadaan ini tidak bermakna kaum lelaki lebih rendah taraf daripada kaum perempuan tetapi kaum lelaki lebih suka mengembara dan merantau untuk mencari pengalaman dan kehidupan baru yang lebih baik. Golongan wanita diberikan harta benda sebagai nafkah. Selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Kaum lelaki tetap memegang tampuk pemerintahan tertinggi seperti Yamtuan Besar walaupun Adat Perpatih ini mengutamakan kaum wanita. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak sebelah ibu. Harta bagi pasangan suami isteri boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu harta carian, harta dapatan, dan harta pembawaan. Harta carian ialah harta yang diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup dan harta ini akan dibahagi dua sekiranya berlaku penceraian. Harta dapatan pula ialah harta yang sedia ada pada isteri sebelum dirinya berkahwin dan sekiranya berlaku penceraian harta itu kekal menjadi milik isteri. Harta pembawaan ialah harta yang sedia dimiliki oleh suami sebelum berkahwin dan jika bercerai, isteri tidak boleh menuntut harta tersebut.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku, antaranya ialah Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Anak Melaka dan Anak Acheh. Selepas berkahwin, isteri akan membawa suami tinggal di rumah pusaka atau dikenali sebagai rumah gadang ataupun rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. Sekiranya suami kematian isteri, adalah digalakkan untuk mengambil adik perempuan isteri untuk dijadikan isteri bagi menjaga anak-anaknya. Susunan keluarga adat ini mengutamakan wanita yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunannya terdiri daripada ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. Adat Perpatih melarang seorang lelaki berkahwin dengan dua atau lebih wanita dari suku yang sama.

Undang-undang yang dilaksanakan dalam Adat Perpatih adalah bersifat pemulihan. Undang-undang tidak dimaktubkan dalam bentuk rekod yang bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Undang-undang jenayah untuk adat ini lebih bersifat bertimbang rasa. Seseorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahan. Sebagai contoh, seseorang yang dilukakan akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat Perpatih mempercayai bahawa hukuman membolehkan orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.

Adat Perpatih bercorak demokrasi iaitu kedaulatan berada di tangan rakyat. Pemerintahan dijalankan secara musyawarah menerusi perwakilan suku-suku. Orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah juga mesti mengikut undang-undang. Kuasa tidak hanya terletak pada pemerintah. Pemerintah tidak boleh membuat apa-apa perkara sesuka hati. Kuasa memerintah dibahagikan kepada pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Dari segi pemilihan jawatan, orang ramai akan memilih Buapak, Buapak akan memilih Lembaga, Lembaga akan memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan Besar.

Dalam amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, ungkapan adat yang disebut sebagai perbilangan adalah sangat penting. Perbilangan ini merupakan peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi peraturan, undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan. Sebagai contoh, adat yang diamalkan dalam Adat Perpatih iaitu Adat Berkampung. Berikut ialah perbilangannya :
Nan jauh dijemput,
Nan dekat dikampungkan,
Hilang dicari,
Cicir dipungut.


ADAT TEMENGGUNG

Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan. Beliau bertindak menjaga kawasan persisiran pantai dan laut. Adat Temenggung ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 dan seterusnya diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Ciri Adat Temenggung dari segi sistem kekeluargaan, sistem kekeluargaan bercorak seimbang iaitu kedudukan keluarga sebelah ibu dan bapa sama penting. Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Larangan perkahwinan berdasarkan hukum syarak ialah berkahwin dengan orang yang mempunyai pertalian darah, perempuan yang bersaudara, orang yang bukan beragama Islam, saudara sepersusuan dan perempuan yang dicerai setelah perempuan itu berkahwin dan bercerai dengan suami yang lain.

Pengelompokan masyarakat tidak wujud dalam Adat Temenggung. Susunan adat ini tidak terdapat sistem yang bercorak kesukuan seperti Adat Perpatih. Sebelum perkahwinan diadakan, upacara peminangan akan diadakan terlebih dahulu. Apabila persetujuan dicapai dalam proses peminangan, persetujuan itu akan diikatkan dengan peraturan adat yang dikenali sebagai pertunangan. Jika satu pihak mungkir janji, pihak tersebut perlu membayar ganti rugi mas kahwin dan wang hantaran. Sekiranya pihak perempuan mungkir janji, maka harus dipulangkan kembali hadiah pertunangan dan bayaran ganti rugi yang dipersetujui. Dalam Adat Temenggung, kaum lelaki menjadi ketua keluarga dan nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa. Adat Temenggung memberi keutamaan yang sama kepada pihak lelaki dan perempuan tetapi pihak lelaki dilebihkan mengikut hukum syarak.

Dari segi sistem pewarisan harta, mengikut sistem Adat Temenggung, lelaki berhak mewarisi harta yang lebih banyak daripada wanita. Jurai sebelah bapa lebih diutamakan. Sekiranya berlaku penceraian, pembahagian harta antara suami dan isteri akan dilaksanakan mengikut hukum syarak. Adat Temenggung menjelaskan bahawa harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian yang kebiasaanya berkaitan dengan soal tanah. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan akan dibahagikan secara sama rata. Jika isteri tidak bekerja, maka isteri berhak mendapat satu pertiga bahagian sahaja. Namun begitu, sekiranya penceraian tersebut adalah permintaan suami, maka suami mesti menyediakan nafkah selama tiga bulan dan harta sepencarian harus dibahagi. Senjata dan alat-alat daripada besi diberi kepada suami dan peralatan rumah menjadi hak isteri. Pihak isteri turut berhak mendapatkan rumah atau kebun manakala hutang-hutang dan cukai-cukai berpihak kepada suami. Sebaliknya pula apabila penceraian disebabkan oleh perangai buruk isteri, maka si isteri hanya kehilangan tempat tinggal dan undang-undang menetapkan bahawa suami harus membayar sejumlah tertentu seperti emas. Selain itu, sekiranya penceraian antara suami dan isteri disebabkan isteri meminta cerai kerana tiga kali perangai buruk suami dan berjaya bercerai, isteri tersebut harus menebus dirinya dengan memulangkan tempat tinggal dan harta yang berpindah milik terserah kepada suami.

Di samping itu Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan yang bercorak autokrasi iaitu raja mempunyai kuasa mutlak. Raja dilantik berdasarkan keturunan dan perlantikan dilaksanankan menerusi upacara pertabalan. Seseorang raja yang mangkat akan digantikan oleh puteranya yang sulung. Sekiranya raja tersebut tidak mempunyai putera, hak pewarisan takhta akan jatuh kepada adinda lelakinya. Jikalau kedua-duanya tiada, Raja Bendahara akan dilantik menjadi Sultan. Raja-raja Melayu diperuntukkan dengan keistimewaan khas seperti unsur daulat dan derhaka yang tidak boleh dirasai oleh golongan lain. Raja dipercayai mempunyai kuasa sakti dan sesiapa yang melanggar perintah raja akan menerima hukuman yang berat seperti hukuman bunuh. Adat ini juga memperuntukkan kuasa kepada golongan pembesar. Bendahara merupaka ketua tadbir tinggi selepas kuasa raja. Bendahara biasanya terdiri daripada kerabat diraja. Laksamana pula merupakan pegawai yang bertanggungjawab menjaga keamanan khususnya di lautan. Bendahari bertugas sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal kewangan negeri. Syahbandar akan bertugas menjaga pelabuhan manakala hulubalang pula bertindak sebagai ketua perajurit yang kebiasaannya terdiri daripada tokoh-tokoh perajurit yang pintar dan cekap dalam teknik peperangan. Jajahan ditadbir oleh pembesar-pembesar kerajaan yang ditugaskan untuk memungut cukai dan menjaga keamanan di daerah-daerah. Pembesar yang berkuasa biasanya akan dilantik dalam kalangan kerabat diraja yang bergelar Tengku. Jawatan terakhir dalam sistem pemerintahan Adat Temenggung ialah Penghulu yang berperanan dalam mentadbir kampung dan membantu pembesar di jajahan.



SUMBER
Mohd Rosli Saludin (2007). Hari-hari mendatang adat perpatih. Penang : Goal Intelligent Publishing Sdn Bhd.
http://sukosenseimalaysia.blogspot.com/2009/04/adat-temenggung-dan-adat-perpatih.html

No comments:

Post a Comment