Tuesday 21 May 2013

ULASAN KARYA AGUNG


ULASAN KARYA AGUNG : BUSTAN AL-KATIBIN

BUSTAN AL-KATIBIN
Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin  merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.
Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.
Kitab Bustan al-Katibin yang menjadi rujukan para pelajar dan bahan kajian ini merupakan naskhah salinan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Kitab ini merupakan Koleksi Klinkert (KI 107) yang disusun dalam bentuk slaid dan dicetak foto atau photoprint. Karya awal ini mempunyai ketebalan sebanyak 80 halaman yang ditulis dengan menggunakan tulisan tangan. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan indah.  
Selain salinan manuskrip Bustan al-Katibin yang merupakan Koleksi Klinkert di Universiti Leiden, terdapat juga sebuah naskhah kitab yang dipercayai pertama kali dicetak pada tahun 1274 Hijrah bersamaan 1858  Masihi. Naskhah yang pernah dimiliki oleh Paderi Keasberry kini tersimpan di perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Terdapat perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua naskhah karya ulung tersebut. Naskhah SOAS mempunyai perkataan “mentaba” atau mencetak pada penghujung kitab yang bermaksud naskhah tersebut merupakan naskhah yang dicetak, manakala naskhah yang dikaji tertulis perkataan “telah selesailah mengarang kitab ini…” yang sememangnya ditulis oleh Raja Ali Haji.
Selain cetakan pertama tersebut, terdapat juga pendapat lain yang menyatakan kitab tersebut telah dicetak kali pertama  dengan menggunakan teknik percetakan batu (lithograph) di Riau pada tahun 1857 dan kemudiannya diulang cetak di Singapura. Terdapat satu naskhah lagi di England yang tersimpan di Perpustakaan University of Cambridge bertarikh 1891 yang bukan merupakan hasil cetakan tetapi disalin daripada naskhah lithograph. Naskhah-naskhah lain ialah Bustanul Katibin I dan Bustanul Katibin II yang tersimpan di Museum Pusat Jakarta.
PENGARANG BUSTAN AL-KATIBIN: RAJA ALI HAJI
Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad dilahirkan di Pulau Penyengat pada 1808 Masihi. Beliau berketurunan pembesar Bugis yang merupakan keturunan kedua, iaitu cucunda kepada Raja Haji FIsabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. 
Datuknya, Raja Haji Fisabilillah merupakan seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Ayahnya pula, Raja Haji Ahmad merupakan seorang pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Keadaan itu memberi peluang kepada Raja Ali Haji untuk menperdalam ilmu pengetahuan Islam daripada para ulama di Jawa. Raja Ali Haji sempat berguru dengan Saiyid Abdur Rahman al-Mashri dalam bidang ilmu falak. Selain itu, beliau juga banyak menimba pengalaman dan pengetahuan daripada para sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang merupakan sahabatnya.
Raja Ali Haji telah mengikut ayahnya, Raja Haji Ahmad ke Mekah sekitar tahun 1827. Pada ketika itu, beliau dan bapanya merupakan antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam suatu tempoh yang agak panjang. Keadaan itu mempengaruhi penulisannya kerana beliau berpendidikan Arab. Walaupun begitu, beliau masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik tetapi banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab.
Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli bahasa melalui penulisan buku tatabahasa Melayu, iaitu “Bustan al-Katibin” pada tahun 1857. Usaha beliau dalam bidang penulisan mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu dalam penambahan buku tatabahasa Melayu. Di samping itu, beliau turut mengarang sebuah kamus yang bertajuk “Kitab Pengetahuan Bahasa”, iaitu kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Karyanya yang paling terkenal ialah “Tuhfat al-Nafis” yang dikarangnya pada 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.
Beliau juga berbakat dalam bidang kesusasteraan. Karya-karya sastera beliau yang terkenal adalah seperti Syair Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Karyanya dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang dikenali sebagai “Mukaddimah fi Intizam”.
Tokoh karyawan ini meninggal dunia sekitar tahun 1873 di Riau. Pada tahun 2006, pemerintah Republik Indonesia telah memberikan gelaran “Pahlawan Negara” bagi mengenang jasa-jasa yang telah diberikan oleh beliau.

KANDUNGAN BUSTAN AL-KATIBIN
Raja Ali Haji telah membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian penutup.
i)             MUKADIMAH
Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Antara kata-kata yang terdapat dalam kitab tersebut yang menunjukkan tentang kelebihan-kelebihan tersebut ialah “’akal ialah sebaik-baik perhiasan”, “tanda ber’akal segera faham” dan “barang siapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya (keturunannya)”.
            Selain itu, bahagian ini turut memperkatakan tentang kelebihan ilmu bahasa atau tutur kata dan karang-mengarang. Raja Ali Haji mengistilahkannya sebagai ilmu al-qalam wa al-kalam atau ilmu penulisan dan perbicaraan. Menurut beliau, kepandaian berbahasa dan penggunaan qalam atau pena untuk penulisan karang-mengarang adalah lebih berkuasa daripada pedang dan senjata seperti yang dinyatakannya dalam petikan berikut:
“…segala pekerjaan pedang boleh diperbuat oleh dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang…”
            Raja Ali Haji turut menyatakan syarat dan adab untuk menuntut ilmu dalam bab ini. Beliau menyatakan syarat bagi menuntut ilmu ialah “antara nafsumu dengan dirimu sendiri” yang bermaksud untuk menuntut ilmu kita perlulah mempunyai keinginan untuk belajar yang tinggi. Adab menuntut ilmu pula ialah “antara dirimu dengan gurumu” yang membawa maksud seseorang yang ingin menuntut ilmu perlulah beradab dan menghormati gurunya.
ii)            FASAL-FASAL
Bahagian kedua dalam Bustan al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal 16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30.
            Fasal 1 hingga Fasal 9 membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain, iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Raja Ali Haji menegaskan bahawa walaupun penggunaannya digunakan sebagai fonem Melayu tetapi abjad asalnya adalah daripada bahasa Arab seperti kata berikut, “…diambil rumahnya daripada rumah Arab jua.”
            Topik kedua yang dibincangkan dalam kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Raja Ali Haji membahagikan setiap kelas kata tersebut kepada beberapa golongan kecil dan dihuraikan satu-persatu secara terperinci.
            Fasal 14 dan Fasal 15 pula menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan. Unit-unit tatabahasa ini diistilahkan oleh pengarang sebagai perkataan-perkataan bagi ayat atau klausa, kata-kata untuk frasa dan kata digunakan untuk merujuk perkataan.
            Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Ayat atau klausa dijelaskan mengikut pola binaannya berdasarkan jenis-jenis subjek dan predikat yang berbeza-beza. Selain itu, pelbagai jenis binaan frasa turut dibincangkan dalam topik ini. Unit tatabahasa ketiga, iaitu perkataan pula dikatakan sebagai unsur terkecil dalam sintaksis.
            Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja. Selain itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan, kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini.
iii)           KHATIMAH
Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.
Raja Ali Haji mengakhiri penulisan dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.

Sumber 
Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

No comments:

Post a Comment