Tuesday, 21 May 2013

KOLEKSI ARTIKEL BERHUBUNG KARYA AGUNG


ARTIKEL 1:
ILMU KETATANEGARAAN MELAYU ABAD KE-19: KAJIAN TERHADAP KARYA RAJA ALI HAJI 

ARTIKEL 2:
SENI ESTETIKA TINGGI SENTUHAN KARYA AGUNG

ARTIKEL 3: 
BUSTAN AL-KATIBIN: KITAB TATABAHASA MELAYU PERTAMA KARYA ANAK NEGERI 

ARTIKEL 4:
HANG TUAH DALAM TAMADUN MELAYU

ULASAN KARYA AGUNG


ULASAN KARYA AGUNG : BUSTAN AL-KATIBIN

BUSTAN AL-KATIBIN
Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin  merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.
Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.
Kitab Bustan al-Katibin yang menjadi rujukan para pelajar dan bahan kajian ini merupakan naskhah salinan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Kitab ini merupakan Koleksi Klinkert (KI 107) yang disusun dalam bentuk slaid dan dicetak foto atau photoprint. Karya awal ini mempunyai ketebalan sebanyak 80 halaman yang ditulis dengan menggunakan tulisan tangan. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan indah.  
Selain salinan manuskrip Bustan al-Katibin yang merupakan Koleksi Klinkert di Universiti Leiden, terdapat juga sebuah naskhah kitab yang dipercayai pertama kali dicetak pada tahun 1274 Hijrah bersamaan 1858  Masihi. Naskhah yang pernah dimiliki oleh Paderi Keasberry kini tersimpan di perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Terdapat perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua naskhah karya ulung tersebut. Naskhah SOAS mempunyai perkataan “mentaba” atau mencetak pada penghujung kitab yang bermaksud naskhah tersebut merupakan naskhah yang dicetak, manakala naskhah yang dikaji tertulis perkataan “telah selesailah mengarang kitab ini…” yang sememangnya ditulis oleh Raja Ali Haji.
Selain cetakan pertama tersebut, terdapat juga pendapat lain yang menyatakan kitab tersebut telah dicetak kali pertama  dengan menggunakan teknik percetakan batu (lithograph) di Riau pada tahun 1857 dan kemudiannya diulang cetak di Singapura. Terdapat satu naskhah lagi di England yang tersimpan di Perpustakaan University of Cambridge bertarikh 1891 yang bukan merupakan hasil cetakan tetapi disalin daripada naskhah lithograph. Naskhah-naskhah lain ialah Bustanul Katibin I dan Bustanul Katibin II yang tersimpan di Museum Pusat Jakarta.
PENGARANG BUSTAN AL-KATIBIN: RAJA ALI HAJI
Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad dilahirkan di Pulau Penyengat pada 1808 Masihi. Beliau berketurunan pembesar Bugis yang merupakan keturunan kedua, iaitu cucunda kepada Raja Haji FIsabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. 
Datuknya, Raja Haji Fisabilillah merupakan seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Ayahnya pula, Raja Haji Ahmad merupakan seorang pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Keadaan itu memberi peluang kepada Raja Ali Haji untuk menperdalam ilmu pengetahuan Islam daripada para ulama di Jawa. Raja Ali Haji sempat berguru dengan Saiyid Abdur Rahman al-Mashri dalam bidang ilmu falak. Selain itu, beliau juga banyak menimba pengalaman dan pengetahuan daripada para sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang merupakan sahabatnya.
Raja Ali Haji telah mengikut ayahnya, Raja Haji Ahmad ke Mekah sekitar tahun 1827. Pada ketika itu, beliau dan bapanya merupakan antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam suatu tempoh yang agak panjang. Keadaan itu mempengaruhi penulisannya kerana beliau berpendidikan Arab. Walaupun begitu, beliau masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik tetapi banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab.
Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli bahasa melalui penulisan buku tatabahasa Melayu, iaitu “Bustan al-Katibin” pada tahun 1857. Usaha beliau dalam bidang penulisan mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu dalam penambahan buku tatabahasa Melayu. Di samping itu, beliau turut mengarang sebuah kamus yang bertajuk “Kitab Pengetahuan Bahasa”, iaitu kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Karyanya yang paling terkenal ialah “Tuhfat al-Nafis” yang dikarangnya pada 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.
Beliau juga berbakat dalam bidang kesusasteraan. Karya-karya sastera beliau yang terkenal adalah seperti Syair Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Karyanya dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang dikenali sebagai “Mukaddimah fi Intizam”.
Tokoh karyawan ini meninggal dunia sekitar tahun 1873 di Riau. Pada tahun 2006, pemerintah Republik Indonesia telah memberikan gelaran “Pahlawan Negara” bagi mengenang jasa-jasa yang telah diberikan oleh beliau.

KANDUNGAN BUSTAN AL-KATIBIN
Raja Ali Haji telah membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian penutup.
i)             MUKADIMAH
Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Antara kata-kata yang terdapat dalam kitab tersebut yang menunjukkan tentang kelebihan-kelebihan tersebut ialah “’akal ialah sebaik-baik perhiasan”, “tanda ber’akal segera faham” dan “barang siapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya (keturunannya)”.
            Selain itu, bahagian ini turut memperkatakan tentang kelebihan ilmu bahasa atau tutur kata dan karang-mengarang. Raja Ali Haji mengistilahkannya sebagai ilmu al-qalam wa al-kalam atau ilmu penulisan dan perbicaraan. Menurut beliau, kepandaian berbahasa dan penggunaan qalam atau pena untuk penulisan karang-mengarang adalah lebih berkuasa daripada pedang dan senjata seperti yang dinyatakannya dalam petikan berikut:
“…segala pekerjaan pedang boleh diperbuat oleh dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang…”
            Raja Ali Haji turut menyatakan syarat dan adab untuk menuntut ilmu dalam bab ini. Beliau menyatakan syarat bagi menuntut ilmu ialah “antara nafsumu dengan dirimu sendiri” yang bermaksud untuk menuntut ilmu kita perlulah mempunyai keinginan untuk belajar yang tinggi. Adab menuntut ilmu pula ialah “antara dirimu dengan gurumu” yang membawa maksud seseorang yang ingin menuntut ilmu perlulah beradab dan menghormati gurunya.
ii)            FASAL-FASAL
Bahagian kedua dalam Bustan al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal 16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30.
            Fasal 1 hingga Fasal 9 membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain, iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Raja Ali Haji menegaskan bahawa walaupun penggunaannya digunakan sebagai fonem Melayu tetapi abjad asalnya adalah daripada bahasa Arab seperti kata berikut, “…diambil rumahnya daripada rumah Arab jua.”
            Topik kedua yang dibincangkan dalam kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Raja Ali Haji membahagikan setiap kelas kata tersebut kepada beberapa golongan kecil dan dihuraikan satu-persatu secara terperinci.
            Fasal 14 dan Fasal 15 pula menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan. Unit-unit tatabahasa ini diistilahkan oleh pengarang sebagai perkataan-perkataan bagi ayat atau klausa, kata-kata untuk frasa dan kata digunakan untuk merujuk perkataan.
            Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Ayat atau klausa dijelaskan mengikut pola binaannya berdasarkan jenis-jenis subjek dan predikat yang berbeza-beza. Selain itu, pelbagai jenis binaan frasa turut dibincangkan dalam topik ini. Unit tatabahasa ketiga, iaitu perkataan pula dikatakan sebagai unsur terkecil dalam sintaksis.
            Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja. Selain itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan, kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini.
iii)           KHATIMAH
Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.
Raja Ali Haji mengakhiri penulisan dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.

Sumber 
Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

ANALISIS KARYA AGUNG



KARYA AGUNG : SULALATUS SALATIN



Sulalatus Salatin Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah berkaitan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh.
Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi. Lihat perbezaan ejaan keduanya. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India, pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan. Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa.
Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep sejarah sahih China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.

PENGARANG SULALATUS SALATIN : TUN SRI LANANG
Tun Sri Lanang merupakan timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.
Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.

KANDUNGAN SULALATUS SALATIN
Tun Sri Lanang telah menghasilkan sebanyak 15 bab dalam Sulalatus Salatin ini. Dalam setiap bab, dipecahkan pula kepada beberapa bab-bab kecil mengikut kesesuaian penulisannya. Berikut adalah perincian sinopsis dalam Sulalatus Salatin :
 PERINCIAN SINOPSIS
Raja Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah berperang dengan Raja Kida Hindi dan kemudian berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah. Raja Suran turun ke Dika dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri. Hasil perkahwinan itu, mereka mendapat tiga orang putera iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Kesemua anak-anak Raja Suran menjadi raja di negeri masing-masing. Nila Utama menggunakan nama Seri Teri Buana semasa menjadi raja dan mahu berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dan diadakan waad di antara mereka. Seri Teri Buana gemar mengembara sehinggalah berjumpa dengan Singapura.
          Badang merupakan seorang hamba yang beroleh gagah setelah memakan muntah hantu dan akhirnya dimerdekakan oleh tuannya. Merah Silu dan Merah Caga merupakan dua bersaudara. Merah Silu menahan lukah dan mendapat cacing gelang yang apabila direbus bertukar menjadi emas. Merah Caga ingin membunuh saudaranya itu kerana merebus cacing tersebut dan akhirnya Merah Silu melarikan diri sehinggalah bertemu dengan sebuah tempat yang diberikan nama Semundera. Tuan Jana Khatib datang ke Singapura dan menunjukkan kepandaiannya menilik sepohon batang pinanh di hadapan istana raja sehingga membuatkan raja murka lalu membunuhnya.
          Sultan Muzaffar Syah menceraikan isterinya untuk diberikan kepada Seri Nara Diraja atas tujuan mendamaikan Melaka dan kemudian berkahwin dengan Puteri Raden Galuh Cendera Kirana. Hang Tuah difitnah bermukah dengan dayang raja dan dihukum bunuh. Orang-orang Melaka yang diketuai Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China setelah memakan kangkung yang dibelah tanpa dikerat. Tun Muhammad membunuh Tun Besar kerana sepak raga terkena destar Tun Muhammad. Sultan Mansur Syah merajakan Tun Muhammad di Pahang.
          Raja Cempa menjumpai seorang budak dalam mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Raja Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis “salam” disebut “sembah”. Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai itu. Sultan Muhammad Syah mengganggu isteri Tun Biajid dan hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid. Seri Wak Raja ingin membunuh Tun Isap tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Bendahara Putih mati dan digantikan dengan Bendahara Seri Mahara Tun Mutahir. Sultan Mahmud menitahkan pembesar untuk meminang Puteri Gunung Ledang dan muncul seorang tua memberitahu syarat-syaratnya.
          Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu tentang kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud mahukan Tun Teja meskipun ketika itu menjadi tunangan orang. Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja. Laksamana Khoja Hasanpergi ke Pahang dan berjaya melarikan gajah Ai Kening. Sultan Mahmud Raja Zainal dibunuh dan tugas ini disempurnakan oleh Hang Berkat. Raja Legor ingin menyerang Pahang atas suruhan Raja Siam. Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap biadap di hadapan raja. Maulana Sadar Jahan datang ke Melaka dan Sultan Mahmud telah berguru dengan beliau.
          Bendahara Seri Maharaja telah mengahwinkan anaknya dengan Tun Ali. Nina Sura Dewana memberi rasuah kepada Bendahara Seri Maharaja dan ini telah dilihat oleh Si Kitul. Si Kitul membuat fitnah bahawa Bendahara Seri Maharaja mahu membunuh Raja Mendaliar. Peringgi telah menyerang Melaka di bawah pimpinan Alfonso d'Albuquerque tetapi serangan kali pertama gagal. Berlaku pertempuran hebat antara tentera Peringgi dengan orang-orang Melaka. Peringgi menyerang Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga ke Kampar.
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak Sultan Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah negeri di Kuala Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di Pahang berkahwin dengan Raja Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Muzzafar Syah menggantikan Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri bernama Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah hamil. Sultan Muzaffar Syah pula jatuh hati dan berkahwin dengan bonda Raja Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Syah.

SUMBER

A.Samad Ahmad (2008). Edisi pelajar: sulalatus salatin sejarah melayu. Kuala Lumpur: Dewan

            Bahasa dan Pustaka.  






LIMA CONTOH KARYA AGUNG


Karya agung yang dipilih terdiri daripada 
(i) Sulalatus Salatin
(ii) Bustan al-Katibin
(iii)Tuhfat al-Nafis
(iv) Hikayat Abdullah 
(v) Hikayat Hang Tuah

(i) SULALATUS SALATIN

Sulalatus Salatin Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah berkaitan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa.Tun Sri Lanang telah menghasilkan sebanyak 15 bab dalam Sulalatus Salatin ini. Dalam setiap bab, dipecahkan pula kepada beberapa bab-bab kecil mengikut kesesuaian penulisannya.


(ii) BUSTAN AL-KATIBIN
Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin  merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau. Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan indah.
             Raja Ali Haji telah membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian penutup. Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Bahagian kedua dalam Bustan al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal 16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30. Fasal 1 hingga Fasal 9 membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain, iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Topik kedua yang dibincangkan dalam kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Fasal 14 dan Fasal 15 pula menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan. Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja.
             Selain itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan, kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini. Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab. Raja Ali Haji mengakhiri penulisan dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.

(iii) TUHFAT AL-NAFIS


Karya Tuhfat al-Nafis yang bermaksud ‘hadiah paling berharga’ merupakan sebuah karya sejarah yang mengisahkan tentang sejarah Kepulauan Riau-Lingga, Siak, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Betawi pada awal abad ke-19. Tuhfat al-Nafis merupakan buku sejarah karangan Raja Ali Haji, sasterawan dari Riau dan pangeran Kesultanan Riau-Lingga keturunan Bugis. Buku ini ditulis pada tahun 1885 dalam huruf Jawi. Karya tersebut juga merupakan kitab sejarah yg terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang, seorang Bendahara di Johor sekitar tahun 1612.
Penulisan karya agung ini telah dimulakan oleh Raja Haji Ahmad dan diteruskan hingga selesai oleh anaknya Raja Ali Haji. Memandangkan kedudukan mereka yg istimewa dalam kalangan ahli-ahli istana sezaman, kedua-dua tokoh tersebut dapat menggabungkan bakat dan pengalaman masing-masing untuk melahirkan satu sejarah bangsa Melayu yg unik. Menurut Virginia Matheson, penterjemah karya agung ini, pengarang Tuhfat al-Nafis lebih cenderung dengan suku kaum Bugis. Hal ini kerana tema Tuhfat al-Nafis dikatakan lebih cenderung kepada cerita raja-raja dan rakyat Bugis atau lebih dikenali sebagai Bugis-centric ( Arba’iyah Mohd Nor, 2002: 125).
Selain itu, pengarangnya juga menjadikan karya trsebut sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan suku Bugis dalam Kesultanan Melayu terutamanya negeri Johor. Karya ini juga bukan sekadar mengangkat martabat kaum Bugis tetapi ia turut memuatkan sentiment atau gambaran tidak baik atau negative kepada musuh-musuh kaum Bugis seperti Raja Kecil dan suku kaumnya di Minangkabau dan kaum Melayu sendiri. Karya ini membawa pembacanya mengenali tentang kebudayaan, ketinggian dan kemakmuran perdagangan kerajaan Johor. Ia juga memaparkan kisah tentang pengalaman penduduk di sekitar gugusan kepulauan Melayu sebelum dan sesudah kedatangan kuasa-kuasa Eropah.Tuhfat al-Nafis memberikan gambaran yang cukup menarik berkisar tentang kehidupan harian di Pulau Penyengat iaitu pusat pentadbiran kerajaan. Karya ini menceritakan tentang sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan Kesultananan Melaka. Menurut pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19. Tuhfat al-Nafis meliputi penceritaan tentang kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan Betawi. Tuhfat al-Nafis dimulakan dengan ringkasan yang diambil daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Kemudian, penulisannya menceritakan dengan lebih terperinci tentang sejarah Kesultanan Johor-Riau. Watak dinamik atau watak utama dalam Tuhfat al-Nafis adalah orang-orang Bugis yang dikatakan gagah dan berdiplomasi sehinggakan dapat meraih kedudukan penting di negeri-negeri Riau, Selangor, Sambas dan Matan-Sukadana.
Secara ringkasnya, bab-bab dalam karya Tuhfat al-Nafis merangkumi tajuk-tajuk yang berkaitan seperti Raja-raja Melayu Pertama dan Salasilah Melayu, Raja-raja Siak dan Salasilah Mereka, Salasilah Keturunan Bugis, Raja Kechik, Bugis di Mempawah, Perbalahan antara Perak dan Selangor, Belanda Menetap di Tanjung Pinang dan Tengku Husin Menjadi Sultan Singapura.

(iv) HIKAYAT ABDULLAH

Hikayat Abdullah merupakan satu karya agung yang memperihalkan pengalaman dan kisah hidup sebenar Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi sejak dilahirkan sehingga meninggal dunia. Hikayat ini ditulis oleh Abdullah Munsyi. Catatan mengenai peristiwa yang berlaku dalam hidup Abdullah Munsyi juga diabadikan di atasa naskah cap batu dan tulisan Jawi di Singapura pada Mac 1949. Abdullah seringkali mencatatkan semua peristiwa yang berlaku di tempat kelahirannya iaitu Kota Melaka.
Selain itu, beliau juga mencatatkan tentang pelayarannya ke Singapura dalam hikayat ini dan mengkritik suasana sosial yang bersifat negatif pada ketika itu. Kritikan yang disampaikan oleh Abdullah turut menjurus kepada sikap pemerintah yang mementingkan diri dan mudah termakan dengan pujuk rayu penjajah serta sikap orang Melayu itu sendiri yang tidak mahu mengubah kehidupan mereka supaya menjadi lebih baik. Kritikan tersebut telah menyebabkan Abdullah digelar sebagai “Abdullah Paderi” oleh orang Melayu. Gelaran tersebut timbul juga disebabkan oleh kerana Abdullah sering membantu orang putih. Sebagai contoh ialah beliau ditugaskan untuk menyalin dan membaikpulih terjemahan Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Beliau turut mengkritik golongan penjajah iaitu dengan menyatakan bahawa golongan penjajah hanya tahu mengambil kesempatan atas kelemahan orang Melayu. Hikayat Abdullah yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani mempunyai 23 bab. Setiap bab mempunyai cerita dan kisah-kisah yang tersendiri.

(v) HIKAYAT HANG TUAH

Hikayat Hang Tuah merupakan penceritaan berkaitan seorang tokoh dan watak manusia yang bernama Hang Tuah. Pengarang mengolah jalan cerita berlatar belakangkan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Hang Tuah telah berkhidmat dengan Kesultanan Melayu Melaka. Hang Tuah di gambarkan individu yang amat taat setia kepada raja sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Hang Tuah telah menumpukan seluruh khidmat dan nyawanya kepada raja. Hang Tuah misalnya dianggap sebagai lambang kekuasaan dan kebesaran kerajaan Melayu Melaka. Nama-nama tempat yang digunakan di dalam hikayat sememangnya wujud dan seperti Melaka, Palembang, Inderpura, Temasik, China dan sebagainya. Dalam Hikayat Hang Tuah banyak memerihalkan kegiatan manusia. Hikayat Hang Tuah tidak mempunyai rangka masa yang jelas.  Hang Tuah dikatakan hidup sepanjang zaman Kesultanan Melayu Melaka dan hilang penceritaannnya selepas Melaka ditakluki oleh Portugis.
            Pelaku dan tokoh utama dalam Hikayat Hang Tuah banyak melampaui batas manusia. Kebolehannya yang luar biasa dicipta oleh penulis sehingga ada yang berpendapat bahawa Hang Tuah hanyalah suatu kisah dongeng sahaja. Hikayat Hang Tuah merupakan karya sastera epik. Menurut Abu Hassan Sham (1975), hikayat ini dianggap epik kerana ia menceritakan tentang kisah seorang pahlawan yang diagungkan oleh masyarakat, mempunyai sifat luar biasa, latar masa yang panjang dan latar tempat yang mencakupi seluruh dunia.

SUMBER
http://www.slideshare.net/ZAZA132/karya-agung-komplete-13237346
http://www.syarifhade.com/index.php?option=com_content&view=article&id=133:bustan-al-katibin-kitab-tata-bahasa-melayu-pertama-karya-anak-negeri&catid=40:filologi&Itemid=37
http://jtopan.blogspot.com/2011/07/raja-ali-haji-salasilah-bugis-dan.html

A.Samad Ahmad (2008). Edisi pelajar: sulalatus salatin sejarah melayu. Kuala Lumpur: Dewan
            Bahasa dan Pustaka



      

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT (ADAT ISTIADAT)


PENDAHULUAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 : 8), adat ditakrifkan sebagai peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam masyarakat. Peraturan ini diamalkan sehingga ianya menjadi satu hukum yang perlu dipatuhi oleh semua. Hukum adat akan dikendalikan oleh satu badan yang dikenali sebagai Majlis Orang Tua. Majlis ini diketuai oleh ketua adat. Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan dan diwarisi secara turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang tidak boleh dilanggar. Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini merupakan kebudayaan undang-undang sistem masyarakat, upacara, dan semua kebiasaan yang sering dilakukan. Namun begitu, pada masa kini makna adat dalam masyarakat Melayu sudah menjadi semakin khusus dan mengecil yakni upacara kebiasaan dan unsur masyarakat yang tidak digolongkan sebagai unsur Islam.

Konsep adat ini telah diberi pelbagai takrif oleh pelbagai masyarakat di Alam Melayu. Antara konsep yang berkait dengan adat ialah adat sebagai kelakuan dan kebiasaan yang betul, adat dengan makna yang khusus, adat sebagai prinsip semula jadi alam, adat sebagai hukum dan undang-undang negara dan masyarakat umum, adat sebagai segala perlakuan upacara dan adat sebagai susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya. Dalam konsep-konsep tersebut, adat adalah keseluruhan corak hidup atau kebudayaan manusia di alam nyata. Adat juga menjadi ciri kehidupan.

Pengertian yang mendalam sebegini tidak lagi berlaku dalam masyarakat Melayu masa kini. Hukum adat sudah menjadi undang-undang, hukum alam sudah menjadi sains, dan bidang kepercayaan pula menjadi agama. Pengertian adat itu sendiri menjadi semakin sempit. Pada masa kini, adat sering dimaksudkan sebagai adat istiadat atau upacara tradisional. Apabila adat dikatakan sebagai upacara, hal ini bermaksud adat sudah mendapat makna yang sempit kerana upacara merangkumi segala perbuatan, kegiatan, peralatan, acara dan perlakuan yang teratur dan tersusun berkaitan dengan sesuatu kepercayaan. Kepelbagaian upacara telah dianggap sebagai adat bukan sebagai ajaran agama.

Adat juga seringkali dipertentangkan dengan perlakuan Islam sehinggakan adat sesetengah adat dikatakan melanggar akidah Islam. Contohnya, adat bersanding. Dari segi kebudayaan Melayu, perlakuan tersebut ialah sistem adat istiadat dalam bentuk upacara sebenarnya. Penyempitan makna terhadap adat inilah yang menjadi satu faktor penyebab perlunya didedahkan kepada masyarakat mengenai adat sebenar dan cara amalan adat tersebut yang paling tepat yang wujud dalam masyarakat Melayu.

ADAT ISTIADAT DALAM MASYARAKAT MELAYU

Pada masa kini, pengertian dan amalan adat telah berubah menurut perkembangan pengetahuan ilmu dalam masyarakat. Adat istiadat dalam masyarakat Melayu di Malaysia terbahagi kepada dua jenis iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Pembahagian adat ini sekiranya dilihat dari satu sudut boleh dikatakan sebagai tanggapan asli masyarakat Melayu di Malaysia. Namun begitu, penelitian yang mendalam akan menunjukkan bahawa pembahagian ini digolongkan oleh pengkaji Inggeris yang membezakan antara peraturan adat di Negeri Sembilan dan Naning, di utara Melaka daripada negeri lain di Malaysia.

Pembahagian dua jenis adat ini tidak terdapat dalam manuskrip undang-undang Melayu tetapi hanya terdapat dalam teromba atau lagenda asal usul adat Perpatih. Dalam teromba disebutkan bahawa Adat Perpatih itu bermula di Minangkabau, Sumatera. Di Malaysia, terdapat perbezaan yang diterjemahkan sebagai perbezaan antara undang-undang Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning dengan Adat Temenggung di negeri-negeri lain. Selain itu, dalam masyarakat Melayu hanya ada dua amalan adat iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Sekiranya wujud pendapat lain mengenai amalan adat, amalan adat tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sama ada ianya adalah amalan adat ataupun hanya sekadar upacara. Hal ini kerana salah faham mengenai adat dan upacara dalam masyarakat pada masa kini kian meruncing.

Adat Perpatih dan Adat Temenggung mempunyai ciri-ciri dan amalannya yang tertentu. Ciri-ciri dan amalan itulah yang menjadikan adat-adat ini istimewa dan unik untuk masyarakat pengamalnya sendiri. Antara kedua-dua adat ini, Adat Perpatih lebih berperaturan lengkap dan terikat berbanding dengan  Adat Temenggung yang tidaklah terlalu terikat. Namun begitu, kedua-dua adat ini masih mempunyai tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

ADAT PERPATIH

Adat perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan di Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat ini diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih diwarisi secara turun-temurun.

Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dlihat dalam pembahagian harta dan juga jurai keturunan. Namun begitu, keadaan ini tidak bermakna kaum lelaki lebih rendah taraf daripada kaum perempuan tetapi kaum lelaki lebih suka mengembara dan merantau untuk mencari pengalaman dan kehidupan baru yang lebih baik. Golongan wanita diberikan harta benda sebagai nafkah. Selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Kaum lelaki tetap memegang tampuk pemerintahan tertinggi seperti Yamtuan Besar walaupun Adat Perpatih ini mengutamakan kaum wanita. Harta pusaka diturunkan melalui keturunan perempuan, iaitu daripada pihak sebelah ibu. Harta bagi pasangan suami isteri boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu harta carian, harta dapatan, dan harta pembawaan. Harta carian ialah harta yang diperoleh bersama sepanjang perkongsian hidup dan harta ini akan dibahagi dua sekiranya berlaku penceraian. Harta dapatan pula ialah harta yang sedia ada pada isteri sebelum dirinya berkahwin dan sekiranya berlaku penceraian harta itu kekal menjadi milik isteri. Harta pembawaan ialah harta yang sedia dimiliki oleh suami sebelum berkahwin dan jika bercerai, isteri tidak boleh menuntut harta tersebut.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku, antaranya ialah Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Anak Melaka dan Anak Acheh. Selepas berkahwin, isteri akan membawa suami tinggal di rumah pusaka atau dikenali sebagai rumah gadang ataupun rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. Sekiranya suami kematian isteri, adalah digalakkan untuk mengambil adik perempuan isteri untuk dijadikan isteri bagi menjaga anak-anaknya. Susunan keluarga adat ini mengutamakan wanita yang disusurgalurkan kepada keturunan sebelah ibu. Susunannya terdiri daripada ibu, anak-anak perempuan, anak-anak lelaki, cucu perempuan, cucu lelaki dan seterusnya. Adat Perpatih melarang seorang lelaki berkahwin dengan dua atau lebih wanita dari suku yang sama.

Undang-undang yang dilaksanakan dalam Adat Perpatih adalah bersifat pemulihan. Undang-undang tidak dimaktubkan dalam bentuk rekod yang bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Undang-undang jenayah untuk adat ini lebih bersifat bertimbang rasa. Seseorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahan. Sebagai contoh, seseorang yang dilukakan akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat Perpatih mempercayai bahawa hukuman membolehkan orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.

Adat Perpatih bercorak demokrasi iaitu kedaulatan berada di tangan rakyat. Pemerintahan dijalankan secara musyawarah menerusi perwakilan suku-suku. Orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah juga mesti mengikut undang-undang. Kuasa tidak hanya terletak pada pemerintah. Pemerintah tidak boleh membuat apa-apa perkara sesuka hati. Kuasa memerintah dibahagikan kepada pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Dari segi pemilihan jawatan, orang ramai akan memilih Buapak, Buapak akan memilih Lembaga, Lembaga akan memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan Besar.

Dalam amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, ungkapan adat yang disebut sebagai perbilangan adalah sangat penting. Perbilangan ini merupakan peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi peraturan, undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan. Sebagai contoh, adat yang diamalkan dalam Adat Perpatih iaitu Adat Berkampung. Berikut ialah perbilangannya :
Nan jauh dijemput,
Nan dekat dikampungkan,
Hilang dicari,
Cicir dipungut.


ADAT TEMENGGUNG

Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan. Beliau bertindak menjaga kawasan persisiran pantai dan laut. Adat Temenggung ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-15 dan seterusnya diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Ciri Adat Temenggung dari segi sistem kekeluargaan, sistem kekeluargaan bercorak seimbang iaitu kedudukan keluarga sebelah ibu dan bapa sama penting. Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Larangan perkahwinan berdasarkan hukum syarak ialah berkahwin dengan orang yang mempunyai pertalian darah, perempuan yang bersaudara, orang yang bukan beragama Islam, saudara sepersusuan dan perempuan yang dicerai setelah perempuan itu berkahwin dan bercerai dengan suami yang lain.

Pengelompokan masyarakat tidak wujud dalam Adat Temenggung. Susunan adat ini tidak terdapat sistem yang bercorak kesukuan seperti Adat Perpatih. Sebelum perkahwinan diadakan, upacara peminangan akan diadakan terlebih dahulu. Apabila persetujuan dicapai dalam proses peminangan, persetujuan itu akan diikatkan dengan peraturan adat yang dikenali sebagai pertunangan. Jika satu pihak mungkir janji, pihak tersebut perlu membayar ganti rugi mas kahwin dan wang hantaran. Sekiranya pihak perempuan mungkir janji, maka harus dipulangkan kembali hadiah pertunangan dan bayaran ganti rugi yang dipersetujui. Dalam Adat Temenggung, kaum lelaki menjadi ketua keluarga dan nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa. Adat Temenggung memberi keutamaan yang sama kepada pihak lelaki dan perempuan tetapi pihak lelaki dilebihkan mengikut hukum syarak.

Dari segi sistem pewarisan harta, mengikut sistem Adat Temenggung, lelaki berhak mewarisi harta yang lebih banyak daripada wanita. Jurai sebelah bapa lebih diutamakan. Sekiranya berlaku penceraian, pembahagian harta antara suami dan isteri akan dilaksanakan mengikut hukum syarak. Adat Temenggung menjelaskan bahawa harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian yang kebiasaanya berkaitan dengan soal tanah. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan akan dibahagikan secara sama rata. Jika isteri tidak bekerja, maka isteri berhak mendapat satu pertiga bahagian sahaja. Namun begitu, sekiranya penceraian tersebut adalah permintaan suami, maka suami mesti menyediakan nafkah selama tiga bulan dan harta sepencarian harus dibahagi. Senjata dan alat-alat daripada besi diberi kepada suami dan peralatan rumah menjadi hak isteri. Pihak isteri turut berhak mendapatkan rumah atau kebun manakala hutang-hutang dan cukai-cukai berpihak kepada suami. Sebaliknya pula apabila penceraian disebabkan oleh perangai buruk isteri, maka si isteri hanya kehilangan tempat tinggal dan undang-undang menetapkan bahawa suami harus membayar sejumlah tertentu seperti emas. Selain itu, sekiranya penceraian antara suami dan isteri disebabkan isteri meminta cerai kerana tiga kali perangai buruk suami dan berjaya bercerai, isteri tersebut harus menebus dirinya dengan memulangkan tempat tinggal dan harta yang berpindah milik terserah kepada suami.

Di samping itu Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan yang bercorak autokrasi iaitu raja mempunyai kuasa mutlak. Raja dilantik berdasarkan keturunan dan perlantikan dilaksanankan menerusi upacara pertabalan. Seseorang raja yang mangkat akan digantikan oleh puteranya yang sulung. Sekiranya raja tersebut tidak mempunyai putera, hak pewarisan takhta akan jatuh kepada adinda lelakinya. Jikalau kedua-duanya tiada, Raja Bendahara akan dilantik menjadi Sultan. Raja-raja Melayu diperuntukkan dengan keistimewaan khas seperti unsur daulat dan derhaka yang tidak boleh dirasai oleh golongan lain. Raja dipercayai mempunyai kuasa sakti dan sesiapa yang melanggar perintah raja akan menerima hukuman yang berat seperti hukuman bunuh. Adat ini juga memperuntukkan kuasa kepada golongan pembesar. Bendahara merupaka ketua tadbir tinggi selepas kuasa raja. Bendahara biasanya terdiri daripada kerabat diraja. Laksamana pula merupakan pegawai yang bertanggungjawab menjaga keamanan khususnya di lautan. Bendahari bertugas sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal kewangan negeri. Syahbandar akan bertugas menjaga pelabuhan manakala hulubalang pula bertindak sebagai ketua perajurit yang kebiasaannya terdiri daripada tokoh-tokoh perajurit yang pintar dan cekap dalam teknik peperangan. Jajahan ditadbir oleh pembesar-pembesar kerajaan yang ditugaskan untuk memungut cukai dan menjaga keamanan di daerah-daerah. Pembesar yang berkuasa biasanya akan dilantik dalam kalangan kerabat diraja yang bergelar Tengku. Jawatan terakhir dalam sistem pemerintahan Adat Temenggung ialah Penghulu yang berperanan dalam mentadbir kampung dan membantu pembesar di jajahan.



SUMBER
Mohd Rosli Saludin (2007). Hari-hari mendatang adat perpatih. Penang : Goal Intelligent Publishing Sdn Bhd.
http://sukosenseimalaysia.blogspot.com/2009/04/adat-temenggung-dan-adat-perpatih.html

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT ( ILMU)


PENGENALAN
Masyarakat Melayu pada zaman dahulu begitu kaya dengan khazanah bahasa dan amalannya. Ada antara amalan-amalan itu masih diamalkan sehingga ke hari ini. Datuk nenek moyang kita dahulu begitu kuat kepercayaannya kepada alam sekeliling. Dengan ini muncullah kuasa alam sehinggakan mereka menuntut ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib atau alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ada yang menyebut ilmu ini sebagai ilmu hitam. Namun demikian, terdapat juga masyarakat Melayu pada zaman dahulu mengamalkan amalan ini mengikut ajaran Islam. Dalam karya agung Melayu, segelintir penulis memasukkan unsur-unsur seperti unsur mistik, ghaib, ilmu hitam, pemujaan dewa dewi, ilmu pengasih, perdukunan, ilmu firasat dan sebagainya. Antara ilmu-ilmu yang akan dikupas dalam tugasan ini ialah penggunaan ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu pengasih dan juga ilmu jampi dalam penulisan karya agung Melayu khususnya dan menyentuh sedikit dalam penulisan karya agung dunia amnya.  

ILMU FIRASAT
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ilmu firasat didefinisikan sebagai pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka atau bahagian badan yang lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang. Firasat juga merupakan perasaan hati akan terjadi sesuatu setelah melihat gejala tertentu. Dalam perspektif Islam, terdapat beberapa potong ayat al Quran dan hadith yang menyebut tentang firasat ini.

Berikut adalah beberapa contoh potongan ayat al Quran dan hadith yang ada menyebut tentang ilmu firasat dalam kalangan umat manusia :
“Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang al-mutawassimin”                                                                   
( Al-Hijr : 75 )
Al-Mutawassimin menurut pengertian ulama’ merupakan orang-orang yang mempunyai firasat iaitu mereka yang mampu mengetahui sesuatu hal dengan mempelajari tanda-tandanya sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar mengetahui mereka dengan tanda-tandanya”
                                                                               ( Muhammad : 30 )
Allah juga berfirman yang bermaksud :
“ Orang-orang yang bodoh menyangka mereka adalah orang kaya, kerana mereka memelihara diri dari meminta-minta, kamu mengetahui mereka dengan tanda-tandanya”                                                          ( Al Baqarah : 273 )

Salah seorang sahabat nabi pernah berkata “Seorang yang alim melihat fitnah (kekacauandan sejenisnya) sebelum datang, sedang orang yang jahil melihat fitnah setelah terjadi”. Hal ini bererti, orang yang alim tentunya disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah mempunyai firasat atau pengetahuan akan sesuatu yang akan terjadi, sedang orang yang bodoh dan tidak bertaqwa kepada Allah tidak mengetahuinya kecuali setelah peristiwa tersebut terjadi. Ini bukan bererti sang alim tadi mengetahui hal-hal ghaib dengan begitu sahaja, tetapi dia mengetahuinya dengan tanda-tanda  (firasat) yang diberikan Allah kepadanya.

Sepertimana di dalam al Quran terdapat pendefinisian tentang ilmu firasat, masyarakat Melayu terdahulu juga tidak ketinggalan dalam mengamalkan ilmu firasat ini. Perkara ini dapat dilihat dalam penulisan teks karya agung Melayu yang kebanyakannya turut mempunyai unsur-unsur ilmu firasat di dalamnya. Unsur firasat secara amnya terdapat pelbagai jenis seperti ilmu firasat menerusi wajah, bibir, dahi, tahi lalat dan sebagainya. Masyarakat Melayu ada kalanya terlalu mempercayai ilmu firasat ini terutamanya masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang mempercayai unsur alam sekitar dan menyembah unsur-unsur alam ini.
Tidak ketinggalan juga dalam penghasilan teks karya agung di mana kebanyakan penulis gemar meletakkan unsur ini sebagai daya penarik untuk pembaca di samping dengan tujuan yang tertentu. Antara karya agung yang didapati menggunakan ilmu firasat di dalamnya ialah Sulalatus Salatin. Sulalatus Salatin merupakan sebuah teks karya agung yang menceritakan tentang pertuturan raja dan dipercayai tujuan penulisannya adalah untuk mengangkat martabat raja sebagai ketua sesebuah negara. Dalam penulisan teks ini, penggunaan ilmu firasat jelas ditonjolkan menerusi watak Tuan Jana Khatib pada bab empat yang menceritakan tentang Singapura dilanggar todak.

Dalam bab ini juga ada diceritakan bagaimana Tuan Jana Khatib yang memiliki ilmu khayalillah, telah menilik sebatang pohon pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri Paduka Seri Maharaja. Perkara ini akhirnya menimbulkan kemurkaan raja dan akhirnya Tuan Jana Khatib dihukum bunuh di hujung negeri. Satu perkara aneh berlaku apabila darah Tuan Jana Khatib dikatakan menitik di Singapura, tetapi badannya ghaib dan terhantar di Langkawi. Setelah perkara ini berlaku, Singapura mengalami masalah besar apabila negara itu telah dilanggar todak dan pelbagai cara dilakukan bagi menahan serangan itu.
Dalam Hikayat Hang Tuah pula, terdapat juga penggunaan unsur firasat yang digunakan oleh penulisnya. Dalam sinopsis hikayat ini juga ada menyatakan bahawa terdapat seorang raja yang bernama Sang Perta Dewa dan seorang puteri yang tidak dinyatakan namanya mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Tuan Puteri Kemla Ratna Pelinggam. Dalam bab ini, seorang nujum menilik bahawa anak kebawah Duli Syam Alam akan bermenantukan seorang anak Raja Besar dan cucunya juga kelak juga menjadi Raja Besar. Disebabkan itu, Sang Perta Dewa dan permaisuri sepakat meninggalkan Tuan Putri Kemla Ratna Pelinggam di sebuah Mahligai dan Raja Sang Perta Dewa pergi memburu di Pulau Biram Dewa .

ILMU PENGASIH
Ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, ubat guna-guna dan seumpamanya merupakan satu ilmu yang digunakan oleh orang Melayu untuk menanam dan membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap individu yang lain. Antara ilmu pengasih yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu adalah seperti ilmu tepuk bantal, pemanggil, penunduk dan nasi tangas. Dalam kalangan masyarakat Melayu, amalan ilmu pengasih ini digunakan bertujuan untuk memikat atau mengambil hati seseorang individu. Adakalanya ilmu pengasih ini  membawa kebaikan, namun kebanyakannya membawa kepada keburukan..

Namun demikian, dalam karya agung Melayu juga terdapat penggunaan ilmu pengasih ini. Ilmu ini diserap masuk oleh penulis atas tujuan dan sebab yang tertentu. Sebab yang pertama mungkin ingin menunjukkan kebesaran dan kehebatan raja dan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala. Contoh ini dapat dilihat dalam karya Hikayat Hang Tuah ketika Hang Nadim cuba memujuk Tun Teja. Dalam kisah ini, Hang Nadim memanggil orang tua pelulut dan menggunakan orang tua itu untuk memujuk Tun Teja. Maka orang itu pun menyapukan bedak wangi ke seluruh badan Tun Teja sambil memujuknya dengan menggunakan kata-kata yang lemah lembut. Maka dengan itu, Tun Teja pun berlembut hati dan menurut segala kata yang diutarakan oleh orang tua si pelulut itu mengenai :
“Jikalau tuan mau dibawanya ke Melaka, nescaya diperisteri oleh raja Melaka, kerana baginda tiada beristeri kerajaan, tuanlah kelak jadi raja perempuan di Melaka. Jikalau tuan diperisteri oleh raja Pahang, bermadulah tuan dengan raja perempuan Pahang. Jikalau tuan jadi isteri perempuan Pahang kepada tuan”.

Perkara ini dikatakan berlainan dengan cara yang digunakan untuk memujuk hati Tun Teja dalam Hikayat Hang Tuah ini dimana dikatakan Laksamana Hang Tuah menggunakan jebat sebagai pengasih untuk melembutkan hati Tun Teja. Jebat yang diperoleh dikatakan diperoleh daripada seorang tua yang berjual jebat kepada Laksamana Hang Tuah. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu amat gemar mengamalkan ilmu-ilmu yang seperti ini. Hakikatnya, dalam Islam, ilmu pengasih itu sebenarnya tidak wujud kerana ilmu pengasih ini juga merupakan salah satu bentuk sihir yang bermotifkan peribadi dan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.

ILMU JAMPI
Jampi juga dikenali sebagai mantera. Orang Melayu sangat dekat dunianya dengan spiritual. Ini mungkin juga disebabkan oleh Islam yang menjadi agama rasmi orang Melayu, agama Hindu dan Buddha juga pernah mempengaruhi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Jika dilihat pada zaman dahulu, hampir kesemua aktiviti akan diikuti dengan jampi.

Ilmu jampi atau perdukunan ini dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada bab 3 yang ada menyentuh tentang Badang beroleh gagah. Dalam bahagian ini, Badang merupakan seorang hamba yang tinggal di Sayung dan mengerjakan sebuah huma milik tuannya. Badang juga mempunyai aktiviti lain iaitu gemar menahan lukah. Namun apa yang menghairankan ialah lukahnya tidak pernah dimasuki ikan dan dia hanya menjumpai tulang ikan sahaja berhampiran lukahnya itu. Maka, pada suatu hari Bdang mengintip kawasan lukah itu untuk mengetahui siapakah yang telah memakan ikan di lukah yang ditahan itu.

Badang berasa terkejut apabila melihat seekor hantu yang berbadan besar dan panjang, matanya merah seperti matahari terbit, dan rambutnya dikatakan mencecah pusat. Dengan berbekalkan parang dan kapak, Badang menerpa kea rah hantu itu dan memegang janggutnya dan mengugut mahu membunuhnya. Akibat ketakutan, hantu itu memberikan beberapa tawaran dan Badang memilih untuk menjadi kuat. Untuk menjadi kuat, hantu itu mengarahkan Badang supaya memakan muntahnya. Berikut adalah kata-kata hantu tersebut :
“Jikalau engkau hendakkan gagah, makanlah muntahku. Setelah itu oleh Badang dicubanya segala pohon kayu hampirnya yang besar-besar itu, dengan sekali bantunnya habis patah-patah”.                                              ( Hal. 48-49 )

Dalam Islam, terdapat juga unsur-unsur jampi. Namun demikian, ayat-ayat yang dibacakan dalam jampi tersebut adalah ayat al-Quran dan bergantung kepada keizinan Allah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit atau tidak. Pada hari ini, ramai yang terkeliru antara jampi yang diamalkan pengamal ilmu hitam dengan pengamal al-Quran. Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa jampi yang menggunakan ayat al-Quran ini adalah syirik kerana menyekutukan Allah. Di sini terdapat percanggahan pendapat kerana dari segi syarak itu sendiri, Islam membenarkan umatnya untuk berubat selagi mana cara perubatan itu tidak menyekutukan Allah dan tidak membuatkan individu itu terpesong kepercayaannya.

Hal ini dapat dibuktikan menerusi firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya : “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu” (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).”
  ( Surah Shaad : 42 )

ILMU PERDUKUNAN
Perdukunan merupakan penterjemahan dari kata al kahaanah daripada Bahasa Arab. Ilmu dukun ini dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama ialah mesti adanya yang disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit yang berjumpa dukun) dan mahkuun (kepada siapa dukun itu ditujukan). Kamus Dewan menyatakan bahawa dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya. Perdukunan pula didefinisikan sebagai sesuatu yang mengenai  atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun.

Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu perdukunan ini. Antaranya ialah kahin, ‘arraf, rammal, munajjim atau ahli nujum, sahir atau tukang sihir dan lain-lain. Al Baghawi mengatakan bahawa al-kahin merupakan seseorang yang mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada masa akan datang. Namun demikian, ada juga yang mengatakan al-kahin adalah individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang. Istilah yang kedua yang berkaitan dengan perdukunan ialah ‘arraf. ‘Arraf dikatakan oleh Al-Baghawi sebagai orang yang mengaku-ngaku tahu akan urusan-urusan tertentu melalui cara yang tertentu dan mungkin juga mengetahui tempat sesuatu barang yang hilang itu disorokkan.

Istilah yang ketiga bagi pendukun ialah rammal. Rammal ini merupakan kata akar bahasa Arab iaitu raml yang diertikan sebagai pasir yang lembut. Rammal pula adalah seorang tukang ramal yang akan menggaris-gariskan sesuatu di pasir untuk mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang datang berjumpa dengannya. Ilmu ini telah lama dikenali oleh masyarakat Arab dengan nama ilmu raml. Munajjim atau juga disebut sebagai ahli nujum sudah pasti sinonim dengan masyarakat Melayu. Nujum membawa erti bintang-bintang. Ahli nujum ini biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yangg tertentu.
Penyakit dapat dibahagikan kepada tiga bahagian tertentu dari kacamata perubatan Islam iaitu fizikal, mental dan juga rohani yang berkaitan dengan masalah dalaman seseorang individu. Amalan ilmu perubatan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu diperakui wujud sejak zaman dahulu lagu. Hal ini kerana tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan perubatan moden dan tidak semua penyakit kita boleh lihat dengan mata kasar. Oleh hal yang demikian, muncullah pengamal-pengamal yang mengamalkan beberapa ilmu seperti ilmu jampi dan ilmu perdukunan. Ilmu perdukunan ini pula ada kalanya diperolehi dengan mewarisi daripada nenek moyang dan ada juga yang memperoleh ilmu ini dengan mempelajarinya daripada seseorang yang pakar.

Aktiviti perdukunan ini dikatakan wujud atau tersebarluas ketika zaman praIslam, khususnya di negara Arab kerana pada masa itu bangsa Arab dikatakan sedang mengalami puncak kegelapan rohani. Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadith dari Mu’awiyyah bin al-Hakam as-Salami r.a yang bermaksud :
Aku bertanya, Wahai Rasulullah saw. Ada beberapa hal yang biasa kami lakukan pada jaman jahiliyyah, yaitu bahwa kami mendatangi para kaahin (dukun). Maka Nabi Saw. Bersabda : Janganlah Kalian mendatangi dukun-dukun”.

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa ilmu perdukunan itu asalnya daripada tanah Arab yang ketika itu ketandusan ilmu terutamanya ilmu perubatan sehingga memunculkan perubatan secara mistik seperti perdukunan ini.

Perdukunan merupakan satu perkara yang diharamkan di sisi agama. Hal ini adalah kerana aktiviti berdukun ini dikatakan akan mendekatkan diri kita dengan perkara-perkara yang syirik dan dilarang oleh syarak sebagaimana khamr atau arak dan maisir atau perjudian. Perdukunan akan mengakibatkan banyak kesan yang memudaratkan. Kesan ini bukan hanya berlaku kepada individu itu sendiri, malahan juga mungkin akan berlaku kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang terdekat. Selain itu juga, jika kita mengamalkan perdukunan, pelbagai penyakit sosial lain juga bakal berlaku seperti penipuan, pembunuhan, kes rogol, fitnah dan juga dendam yang kebanyakannya membawa kepada kematian.

Dalam Islam, dukun termasuk dalam taghut kerana semua ini berdasarkan iblis. Makhluk jahat ini sentiasa memberikan idea kepada sang pendukun yang dikenali sebagai tuan iblis itu. Kaahin (pendukun) adalah orang yang mengambil maklumat yang diberikan oleh iblis yang mendengar segala apa yang dikatakan oleh dukun tersebut. Dukun juga dikatakan sebagai individu yang mengetahui apa yang akan berlaku dalam diri seseorang dan apa yang terkandung dalam diri seseorang individu itu. Biasanya individu yang berjumpa dengan dukun akan mempercayai apa sahaja yang diperkatakan oleh dukun tersebut.

Imam Ibnu al-Qayyim r.a. mengatakan para dukun itu adalah utusan atau perantara antara iblis dengan pesakit yang datang meminta bantuan. Hal ini kerana dukun tersebut menggunakan iblis untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pesakit dengan apa cara sekalipun. Jika pesakit itu mempercayai kata-kata yang diucapkan oleh dukun sepenuhnya, hukum bagi umat Islam ialah haram kerana perkara ini telah jatuh dalam antara perkara syirik kerana mempercayai dan meyakini sesuatu perkara selain Allah. Walhal, dalam Islam itu sendiri terdapat pelbagai lagi alternatif untuk menyembuhkan penyakit dan bukan hanya bergantung kepada individu yang menggunakan iblis sebagai bantuan dalam perubatan.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, ilmu firasat, ilmu pengasih, ilmu jampi dan perdukunan ini merupakan salah satu ilmu yang misteri untuk diterokai. Pelbagai cara dan gaya pengguna mengamalkan ilmu ini dan pelbagai juga persepsi masyarakat terhadap pengamal ilmu-ilmu yang sebegini. Oleh hal yang demikian, dalam era globalisasi kini, masyarakat Melayu terutamanya yang beragama Islam seharusnya meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada Allah S.W.T. Setiap manusia yang percaya akan adanya Allah, pasti tidak akan mengamalkan dan mengikuti perkara-perkara yang dianggap khurafat seperti ini. 

SUMBER

Bassam Salamah (2004). Penampakan Dari Dunia Lain Membongkar Rahsia Dunia Ghaib Dan Praktik Perdukunan. Bandung, Indonesia : Mizan Publika.
Claude Levi Strauss (1997). Mitos, Dukun & Sihir. Jakarta, Indonesia : Penerbit Kanisius.
Mohd Rosli Saludin (2007). Hari-hari mendatang adat perpatih. Penang : Goal Intelligent Publishing Sdn Bhd


http://www.usahataqwa.com/rohaniah/wahyu-laduni-firasat-kasyaf
http://ilmukebatinanmelayu.blogspot.com/2011/03/mantera-melayu-2.html