PENGENALAN
Masyarakat Melayu pada zaman
dahulu begitu kaya dengan khazanah bahasa dan amalannya. Ada antara
amalan-amalan itu masih diamalkan sehingga ke hari ini. Datuk nenek moyang kita
dahulu begitu kuat kepercayaannya kepada alam sekeliling. Dengan ini muncullah
kuasa alam sehinggakan mereka menuntut ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib
atau alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ada yang menyebut ilmu
ini sebagai ilmu hitam. Namun demikian, terdapat juga masyarakat Melayu pada
zaman dahulu mengamalkan amalan ini mengikut ajaran Islam. Dalam karya agung
Melayu, segelintir penulis memasukkan unsur-unsur seperti unsur mistik, ghaib,
ilmu hitam, pemujaan dewa dewi, ilmu pengasih, perdukunan, ilmu firasat dan
sebagainya. Antara ilmu-ilmu yang akan dikupas dalam tugasan ini ialah
penggunaan ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu pengasih dan juga ilmu jampi
dalam penulisan karya agung Melayu khususnya dan menyentuh sedikit dalam
penulisan karya agung dunia amnya.
ILMU FIRASAT
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, ilmu firasat didefinisikan sebagai pengetahuan mengenai tanda-tanda
pada muka atau bahagian badan yang lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib
seseorang. Firasat juga merupakan perasaan hati akan terjadi sesuatu setelah
melihat gejala tertentu. Dalam perspektif Islam, terdapat beberapa potong ayat
al Quran dan hadith yang menyebut tentang firasat ini.
Berikut adalah beberapa contoh potongan
ayat al Quran dan hadith yang ada menyebut tentang ilmu firasat dalam kalangan
umat manusia :
“Sesungguhnya
pada peristiwa itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang al-mutawassimin”
( Al-Hijr : 75 )
Al-Mutawassimin
menurut pengertian ulama’ merupakan orang-orang yang mempunyai firasat iaitu
mereka yang mampu mengetahui sesuatu hal dengan mempelajari tanda-tandanya
sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Sekiranya
Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu
benar-benar mengetahui mereka dengan tanda-tandanya”
( Muhammad : 30 )
Allah
juga berfirman yang bermaksud :
“ Orang-orang yang bodoh menyangka mereka adalah orang kaya,
kerana mereka memelihara diri dari meminta-minta, kamu mengetahui mereka dengan
tanda-tandanya” (
Al Baqarah : 273 )
Salah
seorang sahabat nabi pernah berkata “Seorang yang alim melihat fitnah
(kekacauandan sejenisnya) sebelum datang, sedang orang yang jahil melihat
fitnah setelah terjadi”. Hal ini bererti, orang yang alim tentunya disertai
dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah mempunyai firasat atau pengetahuan
akan sesuatu yang akan terjadi, sedang orang yang bodoh dan tidak bertaqwa
kepada Allah tidak mengetahuinya kecuali setelah peristiwa tersebut terjadi.
Ini bukan bererti sang alim tadi mengetahui hal-hal ghaib dengan begitu sahaja,
tetapi dia mengetahuinya dengan tanda-tanda
(firasat) yang diberikan Allah kepadanya.
Sepertimana di dalam al Quran terdapat pendefinisian tentang
ilmu firasat, masyarakat Melayu terdahulu juga tidak ketinggalan dalam
mengamalkan ilmu firasat ini. Perkara ini dapat dilihat dalam penulisan teks
karya agung Melayu yang kebanyakannya turut mempunyai unsur-unsur ilmu firasat
di dalamnya. Unsur firasat secara amnya terdapat pelbagai jenis seperti ilmu
firasat menerusi wajah, bibir, dahi, tahi lalat dan sebagainya. Masyarakat Melayu
ada kalanya terlalu mempercayai ilmu firasat ini terutamanya masyarakat Melayu
pada zaman dahulu yang mempercayai unsur alam sekitar dan menyembah unsur-unsur
alam ini.
Tidak
ketinggalan juga dalam penghasilan teks karya agung di mana kebanyakan penulis
gemar meletakkan unsur ini sebagai daya penarik untuk pembaca di samping dengan
tujuan yang tertentu. Antara karya agung yang didapati menggunakan ilmu firasat
di dalamnya ialah Sulalatus Salatin. Sulalatus Salatin merupakan sebuah teks
karya agung yang menceritakan tentang pertuturan raja dan dipercayai tujuan
penulisannya adalah untuk mengangkat martabat raja sebagai ketua sesebuah
negara. Dalam penulisan teks ini, penggunaan ilmu firasat jelas ditonjolkan
menerusi watak Tuan Jana Khatib pada bab empat yang menceritakan tentang
Singapura dilanggar todak.
Dalam bab
ini juga ada diceritakan bagaimana Tuan Jana Khatib yang memiliki ilmu
khayalillah, telah menilik sebatang pohon pinang sehingga terbelah dua di
hadapan permaisuri Paduka Seri Maharaja. Perkara ini akhirnya menimbulkan
kemurkaan raja dan akhirnya Tuan Jana Khatib dihukum bunuh di hujung negeri.
Satu perkara aneh berlaku apabila darah Tuan Jana Khatib dikatakan menitik di
Singapura, tetapi badannya ghaib dan terhantar di Langkawi. Setelah perkara ini
berlaku, Singapura mengalami masalah besar apabila negara itu telah dilanggar
todak dan pelbagai cara dilakukan bagi menahan serangan itu.
Dalam
Hikayat Hang Tuah pula, terdapat juga penggunaan unsur firasat yang digunakan
oleh penulisnya. Dalam sinopsis hikayat ini juga ada menyatakan bahawa terdapat
seorang raja yang bernama Sang Perta Dewa dan seorang puteri yang tidak
dinyatakan namanya mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Tuan Puteri
Kemla Ratna Pelinggam. Dalam bab ini, seorang nujum menilik bahawa anak kebawah
Duli Syam Alam akan bermenantukan seorang anak Raja Besar dan cucunya juga
kelak juga menjadi Raja Besar. Disebabkan itu, Sang Perta Dewa dan permaisuri
sepakat meninggalkan Tuan Putri Kemla Ratna Pelinggam di sebuah Mahligai dan
Raja Sang Perta Dewa pergi memburu di Pulau Biram Dewa .
ILMU PENGASIH
Ilmu pengasih, jampi, azimat,
doa, ubat guna-guna dan seumpamanya merupakan satu ilmu yang digunakan oleh
orang Melayu untuk menanam dan membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap
individu yang lain. Antara ilmu pengasih yang terdapat dalam kalangan masyarakat
Melayu adalah seperti ilmu tepuk bantal, pemanggil, penunduk dan nasi tangas.
Dalam kalangan masyarakat Melayu, amalan ilmu pengasih ini digunakan bertujuan
untuk memikat atau mengambil hati seseorang individu. Adakalanya ilmu pengasih
ini membawa kebaikan, namun
kebanyakannya membawa kepada keburukan..
Namun demikian, dalam karya agung Melayu juga terdapat
penggunaan ilmu pengasih ini. Ilmu ini diserap masuk oleh penulis atas tujuan
dan sebab yang tertentu. Sebab yang pertama mungkin ingin menunjukkan kebesaran
dan kehebatan raja dan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala. Contoh ini
dapat dilihat dalam karya Hikayat Hang Tuah ketika Hang Nadim cuba memujuk Tun
Teja. Dalam kisah ini, Hang Nadim memanggil orang tua pelulut dan menggunakan orang
tua itu untuk memujuk Tun Teja. Maka orang itu pun menyapukan bedak wangi ke
seluruh badan Tun Teja sambil memujuknya dengan menggunakan kata-kata yang
lemah lembut. Maka dengan itu, Tun Teja pun berlembut hati dan menurut segala
kata yang diutarakan oleh orang tua si pelulut itu mengenai :
“Jikalau tuan mau dibawanya ke Melaka, nescaya diperisteri
oleh raja Melaka, kerana baginda tiada beristeri kerajaan, tuanlah kelak jadi
raja perempuan di Melaka. Jikalau tuan diperisteri oleh raja Pahang, bermadulah
tuan dengan raja perempuan Pahang. Jikalau tuan jadi isteri perempuan Pahang
kepada tuan”.
Perkara ini dikatakan berlainan dengan cara yang digunakan
untuk memujuk hati Tun Teja dalam Hikayat Hang Tuah ini dimana dikatakan
Laksamana Hang Tuah menggunakan jebat sebagai pengasih untuk melembutkan hati
Tun Teja. Jebat yang diperoleh dikatakan diperoleh daripada seorang tua yang
berjual jebat kepada Laksamana Hang Tuah. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa
masyarakat Melayu pada zaman dahulu amat gemar mengamalkan ilmu-ilmu yang
seperti ini. Hakikatnya, dalam Islam, ilmu pengasih itu sebenarnya tidak wujud
kerana ilmu pengasih ini juga merupakan salah satu bentuk sihir yang
bermotifkan peribadi dan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.
ILMU JAMPI
Jampi juga dikenali sebagai
mantera. Orang Melayu sangat dekat dunianya dengan spiritual. Ini mungkin juga
disebabkan oleh Islam yang menjadi agama rasmi orang Melayu, agama Hindu dan
Buddha juga pernah mempengaruhi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Jika
dilihat pada zaman dahulu, hampir kesemua aktiviti akan diikuti dengan jampi.
Ilmu jampi atau perdukunan ini dapat dilihat dalam teks
Sulalatus Salatin pada bab 3 yang ada menyentuh tentang Badang beroleh gagah.
Dalam bahagian ini, Badang merupakan seorang hamba yang tinggal di Sayung dan
mengerjakan sebuah huma milik tuannya. Badang juga mempunyai aktiviti lain
iaitu gemar menahan lukah. Namun apa yang menghairankan ialah lukahnya tidak
pernah dimasuki ikan dan dia hanya menjumpai tulang ikan sahaja berhampiran
lukahnya itu. Maka, pada suatu hari Bdang mengintip kawasan lukah itu untuk
mengetahui siapakah yang telah memakan ikan di lukah yang ditahan itu.
Badang berasa terkejut apabila melihat seekor hantu yang
berbadan besar dan panjang, matanya merah seperti matahari terbit, dan
rambutnya dikatakan mencecah pusat. Dengan berbekalkan parang dan kapak, Badang
menerpa kea rah hantu itu dan memegang janggutnya dan mengugut mahu
membunuhnya. Akibat ketakutan, hantu itu memberikan beberapa tawaran dan Badang
memilih untuk menjadi kuat. Untuk menjadi kuat, hantu itu mengarahkan Badang
supaya memakan muntahnya. Berikut adalah kata-kata hantu tersebut :
“Jikalau engkau hendakkan gagah, makanlah muntahku. Setelah
itu oleh Badang dicubanya segala pohon kayu hampirnya yang besar-besar itu,
dengan sekali bantunnya habis patah-patah”. ( Hal. 48-49 )
Dalam Islam, terdapat juga unsur-unsur jampi. Namun
demikian, ayat-ayat yang dibacakan dalam jampi tersebut adalah ayat al-Quran
dan bergantung kepada keizinan Allah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit atau
tidak. Pada hari ini, ramai yang terkeliru antara jampi yang diamalkan pengamal
ilmu hitam dengan pengamal al-Quran. Tidak kurang juga ada yang menyatakan
bahawa jampi yang menggunakan ayat al-Quran ini adalah syirik kerana
menyekutukan Allah. Di sini terdapat percanggahan pendapat kerana dari segi
syarak itu sendiri, Islam membenarkan umatnya untuk berubat selagi mana cara
perubatan itu tidak menyekutukan Allah dan tidak membuatkan individu itu
terpesong kepercayaannya.
Hal ini dapat dibuktikan menerusi firman Allah S.W.T yang
bermaksud :
“Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan
kepadanya : “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu” (setelah ia melakukannya maka
terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya “Ini ialah air sejuk untuk
mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).”
( Surah Shaad : 42 )
ILMU PERDUKUNAN
Perdukunan merupakan
penterjemahan dari kata al kahaanah daripada Bahasa Arab. Ilmu dukun ini
dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama ialah mesti adanya
yang disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit
yang berjumpa dukun) dan mahkuun (kepada siapa dukun itu ditujukan). Kamus
Dewan menyatakan bahawa dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau
memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan
sebagainya. Perdukunan pula didefinisikan sebagai sesuatu yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung
atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu
perdukunan ini. Antaranya ialah kahin, ‘arraf, rammal, munajjim atau ahli
nujum, sahir atau tukang sihir dan lain-lain. Al Baghawi mengatakan bahawa
al-kahin merupakan seseorang yang mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada
masa akan datang. Namun demikian, ada juga yang mengatakan al-kahin adalah
individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang. Istilah
yang kedua yang berkaitan dengan perdukunan ialah ‘arraf. ‘Arraf dikatakan oleh
Al-Baghawi sebagai orang yang mengaku-ngaku tahu akan urusan-urusan tertentu
melalui cara yang tertentu dan mungkin juga mengetahui tempat sesuatu barang
yang hilang itu disorokkan.
Istilah yang ketiga bagi pendukun ialah rammal. Rammal ini
merupakan kata akar bahasa Arab iaitu raml yang diertikan sebagai pasir yang
lembut. Rammal pula adalah seorang tukang ramal yang akan menggaris-gariskan
sesuatu di pasir untuk mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang
datang berjumpa dengannya. Ilmu ini telah lama dikenali oleh masyarakat Arab
dengan nama ilmu raml. Munajjim atau juga disebut sebagai ahli nujum sudah
pasti sinonim dengan masyarakat Melayu. Nujum membawa erti bintang-bintang. Ahli
nujum ini biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yangg
tertentu.
Penyakit
dapat dibahagikan kepada tiga bahagian tertentu dari kacamata perubatan Islam
iaitu fizikal, mental dan juga rohani yang berkaitan dengan masalah dalaman
seseorang individu. Amalan ilmu perubatan Islam dalam kalangan masyarakat
Melayu diperakui wujud sejak zaman dahulu lagu. Hal ini kerana tidak semua
penyakit dapat disembuhkan dengan perubatan moden dan tidak semua penyakit kita
boleh lihat dengan mata kasar. Oleh hal yang demikian, muncullah
pengamal-pengamal yang mengamalkan beberapa ilmu seperti ilmu jampi dan ilmu
perdukunan. Ilmu perdukunan ini pula ada kalanya diperolehi dengan mewarisi
daripada nenek moyang dan ada juga yang memperoleh ilmu ini dengan
mempelajarinya daripada seseorang yang pakar.
Aktiviti perdukunan ini dikatakan wujud atau tersebarluas
ketika zaman praIslam, khususnya di negara Arab kerana pada masa itu bangsa
Arab dikatakan sedang mengalami puncak kegelapan rohani. Imam Muslim dalam
sahihnya meriwayatkan hadith dari Mu’awiyyah bin al-Hakam as-Salami r.a yang
bermaksud :
“Aku bertanya, Wahai Rasulullah saw.
Ada beberapa hal yang biasa kami lakukan pada jaman jahiliyyah, yaitu bahwa
kami mendatangi para kaahin (dukun). Maka Nabi Saw. Bersabda : Janganlah Kalian
mendatangi dukun-dukun”.
Hadith di atas jelas
menunjukkan bahawa ilmu perdukunan itu asalnya daripada tanah Arab yang ketika
itu ketandusan ilmu terutamanya ilmu perubatan sehingga memunculkan perubatan
secara mistik seperti perdukunan ini.
Perdukunan merupakan satu perkara yang diharamkan di sisi
agama. Hal ini adalah kerana aktiviti berdukun ini dikatakan akan mendekatkan
diri kita dengan perkara-perkara yang syirik dan dilarang oleh syarak
sebagaimana khamr atau arak dan maisir atau perjudian. Perdukunan akan
mengakibatkan banyak kesan yang memudaratkan. Kesan ini bukan hanya berlaku
kepada individu itu sendiri, malahan juga mungkin akan berlaku kepada ahli
keluarga dan sahabat handai yang terdekat. Selain itu juga, jika kita
mengamalkan perdukunan, pelbagai penyakit sosial lain juga bakal berlaku
seperti penipuan, pembunuhan, kes rogol, fitnah dan juga dendam yang
kebanyakannya membawa kepada kematian.
Dalam Islam, dukun termasuk dalam taghut kerana semua ini
berdasarkan iblis. Makhluk jahat ini sentiasa memberikan idea kepada sang
pendukun yang dikenali sebagai tuan iblis itu. Kaahin (pendukun) adalah orang
yang mengambil maklumat yang diberikan oleh iblis yang mendengar segala apa
yang dikatakan oleh dukun tersebut. Dukun juga dikatakan sebagai individu yang
mengetahui apa yang akan berlaku dalam diri seseorang dan apa yang terkandung
dalam diri seseorang individu itu. Biasanya individu yang berjumpa dengan dukun
akan mempercayai apa sahaja yang diperkatakan oleh dukun tersebut.
Imam Ibnu al-Qayyim r.a. mengatakan para dukun itu adalah
utusan atau perantara antara iblis dengan pesakit yang datang meminta bantuan.
Hal ini kerana dukun tersebut menggunakan iblis untuk menyelesaikan masalah
yang dihadapi pesakit dengan apa cara sekalipun. Jika pesakit itu mempercayai
kata-kata yang diucapkan oleh dukun sepenuhnya, hukum bagi umat Islam ialah
haram kerana perkara ini telah jatuh dalam antara perkara syirik kerana
mempercayai dan meyakini sesuatu perkara selain Allah. Walhal, dalam Islam itu
sendiri terdapat pelbagai lagi alternatif untuk menyembuhkan penyakit dan bukan
hanya bergantung kepada individu yang menggunakan iblis sebagai bantuan dalam
perubatan.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, ilmu
firasat, ilmu pengasih, ilmu jampi dan perdukunan ini merupakan salah satu ilmu
yang misteri untuk diterokai. Pelbagai cara dan gaya pengguna mengamalkan ilmu
ini dan pelbagai juga persepsi masyarakat terhadap pengamal ilmu-ilmu yang
sebegini. Oleh hal yang demikian, dalam era globalisasi kini, masyarakat Melayu
terutamanya yang beragama Islam seharusnya meletakkan seratus peratus kepercayaan
kepada Allah S.W.T. Setiap manusia yang percaya akan adanya Allah, pasti tidak
akan mengamalkan dan mengikuti perkara-perkara yang dianggap khurafat seperti
ini.